IPOH – Dr Anuar Hasin dan Puteri Kalimatul Azzua Hamid, masing-masing dinobatkan sebagai qari, qariah Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Perak bagi tahun 2024.
Anuar, yang juga pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pernah dinobatkan sebagai johan qari Tilawah al-Quran Peringkat Negeri selama tujuh kali sebelum ini, serta johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan pada 2013.
Sementara, Puteri Kalimatul Azzua, merupakan johan qariah pada Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2020.
Mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000, pakej menunaikan umrah bernilai RM10,000 berserta sijil.
Dalam pada itu, Naib johan dan dan ketiga qari masing-masing dirangkul Mohd Kamaruzaman Daud dan Cik Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali.
Bagi kategori qariah pula, Norhazira Nabila Mohd Kamel serta Munirah Razali masing-masing dinobatkan sebagai naib johan dan tempat ketiga.
Bagi kategori qari dan qariah, naib johan menerima wang tunai bernilai RM7,000 dan RM5,000, berserta sijil.
Sementara itu, bagi hafazan kategori 1-30 juzuk, johan qari dimenangi Muhammad Adib Ahmad Rozaini sementara qariah hafazan dimenangi Allama Al Aini Aziz @ Abdul Aziz.
Mereka menerima hadiah wang tunai RM10,000, pakej menunaikan umrah bernilai RM10,000 dan sijil.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang pada majlis penutup dan penyampaian hadiah majlis di Pusat Konvensyen Casuarina Meru di sini malam tadi.
Turut berangkat ke majlis, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Idris Shah; Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah serta Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim Shah.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), serta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzillah Abdul Halim.
Acara yang berlangsung selama dua hari bermula Rabu itu disertai 18 individu bagi kategori tilawah sementara 68 kategori hafazan.
Johan qari dan qariah bakal mewakili Perak ke Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang dijadual berlangsung di Kuantan, Pahang pada Mei depan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Agih terjemahan al-Quran untuk orang bukan Islam bina kefahaman – Mohd Na’im