Empat ‘hotspot’ berisiko tinggi penagih dadah di Perak

SERI ISKANDAR – Parit Buntar, Taiping, Pasir Salak dan Sungai Raia antara ‘hotspot’ yang dikenal pasti kawasan berisiko tinggi (KBT) penagih dadah di Perak.

Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Mohamad Nor Musa berkata, pihaknya menyasarkan untuk menukar lokasi panas itu kepada kawasan berisiko rendah secara berperingkat.

Menurutnya, pada tahun lalu sebanyak tujuh KBT berjaya dipulihkan daripada warna merah ke putih dan diserahkan semula kepada pegawai daerah di kawasan terlibat untuk terus kekal putih.

“AADK akan memantau serta membantu pegawai daerah dan penghulu di kawasan terlibat bagi memastikan ia kekal warna putih dan tidak dikategorikan sebagai KBT,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Sambutan Peringatan Hari Antidadah (HAD) Peringkat Perak 2024 dan Kempen Sifar Penyalahgunaan Dadah di Universiti Teknologi Petronas (UTP), di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTP, Profesor Ir Ts Dr Nor Hisham Hamid dan Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Kesihatan Perak, Velan Supramaniam.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Nor berkata, pihaknya akan mengambil pendekatan dengan membuat kajian berhubung KBT terlebih dahulu.

Katanya, mengikut statistik golongan berusia 21 hingga 40 tahun lebih ramai terbabit dalam penyalahgunaan dadah berbanding remaja.

“Sehubungan itu, kita akan mengkaji KBT berteraskan kefahaman, sokongan dan penglibatan masyarakat termasuk menilai kawasan belia berisiko tinggi untuk terjebak dalam penyalahgunaan dadah.

“Bagi memastikan kajian itu dapat berjalan lancar, kita akan bekerjasama dengan pegawai daerah, penghulu, polis, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Belia dan Sukan (JBS).

“Ini untuk memastikan lebih banyak program dapat diadakan bersama sekali gus memutuskan rantaian permintaan dan penawaran dadah di kawasan terlibat,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Baru dua bulan edar dadah, dua lelaki dicekup polis

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI