KUALA LUMPUR – ‘Abang Belon’ berisiko lumpuh kekal kerana kecederaan teruk pada saraf tulang belakang toraks ekoran dihempap penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), minggu lalu.
Pegawai perubatan swasta, Dr. Mohd Hafidz Rizal Amran berkata, mangsa atau nama sebenarnya Muhamad Za’imuddin Azlan, sudah mula merasai kebas pada anggota badannya kerana tulang berkenaan sudah kemek.
Menurut doktor berkenaan, ekoran itu sarafnya akan terkepit dan tercedera yang boleh menyebabkan lumpuh.
“Dalam tempoh 48 hari, penjagaan secara ketat harus dilakukan dan dia tidak boleh bergerak cergas kerana tulangnya sudah kemek dan keadaannya sangat rapuh, kalau silap sikit sahaja dia boleh lumpuh.
“Kalau ditanya skor kesakitan yang dialaminya di antara satu hingga 10, mangsa menanggung kesakitan pada tahap lapan kerana ia bukan hanya melibatkan tulang, malah kiri dan kanan saraf.
“Apa yang paling tidak mahu adalah lumpuh dan dia perlu memakai `cast’ untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan mengikut amalan di hospital,” ujarnya.
Mohd Hafidz menyatakan demikian kepada wakil media ketika merujuk kepada laporan perubatan yang dikeluarkan oleh Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang yang merawatnya.
Menurut beliau, antara komplikasi lain yang dialami ialah pesakit akan sukar mengawal kencing dan proses pembuangan air besar.
Doktor berkenaan turut berkata, Muhamad Za’imuddin tidak dapat menjalani pembedahan hernia seperti yang dijadualkan pada 18 April ini kerana mengalami kecederaan saraf tulang belakang toraks yang dialaminya.
Kata beliau, laporan perubatan penuh dijangka siap dalam tempoh 40 hari dan ia sah untuk dikemukakan di mahkamah.
Menurutnya, Muhamad Za’imuddin turut menerima cuti sakit selama 48 hari untuk tempoh pemulihan yang menunjukkan tahap keseriusan kecederaan yang dialaminya.
“Kalau demam biasa, doktor akan beri cuti sakit selama tiga hingga tujuh hari, namun kecederaan ini serius yang boleh menyebabkan mangsa lumpuh.
“Dalam tempoh itu, dia tidak boleh buat kerja berat dan tidak boleh jual belon dah selepas ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette