TAPAH – PAS meminta agar isu tauliah mengajar agama oleh calon Perikatan Nasional (PN), Malek tidak terus dimainkan pada sepanjang tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, perkara berkenaan seolah-olah sengaja dijadikan bahan untuk mengalih tumpuan pengundi kepada gerak kerja calon tersebut.
Katanya, malah Abd Muhaimin merupakan seorang guru agama yang memperoleh tauliah sejak 2014.
“Bukan senang hendak memperoleh tauliah mengajar agama kerana ia perlu melalui beberapa proses termasuk penilaian daripada Mufti serta panel yang pakar.
“Abd Muhaimin sudah ada tauliah, sejak sekian lama dan beliau tidak menipu dalam hal itu. Mereka yang buat laporan polis (terhadap Abd Muhaimin) pula belum tentu ada tauliah mengajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Sidang Media Harian PN di Bidor, dekat sini, pada Selasa.
Beliau terdahulu diminta mengulas berkenaan kontroversi berkenaan tauliah mengajar agama yang dikaitkan dengan Abd Muhaimin.
Pada Isnin, Pemuda AMANAH Perak membuat laporan polis dan meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap calon PN itu selepas didakwa menipu dalam permohonan mendapatkan tauliah mengajar daripada Jabatan Mufti.
Dalam perkembangan lain, Idris diminta mengulas berkenaan dakwaan gambar seorang lelaki telah digunakan pada bahan kempen PN pada PRK Ayer Kuning tanpa memohon sebarang keizinan.
Ahli Parlimen Bagan Serai itu memberitahu, gambar itu mungkin ditangkap secara spontan tanpa mengetahui latar belakang keanggotaan parti politik individu terbabit.
Idris bagaimanapun berkata, pihaknya bersedia untuk menurunkan gambar berkenaan dan membuat permohonan maaf sekiranya insiden itu menjejaskan imej lelaki terbabit.
“Jika dia tidak bersetuju (gambar digunakan pada bahan kempen PN) kita tidak ada masalah untuk menurunkannya. Kita pun pada awalnya tidak mengenali siapa lelaki terbabit.
“Seperti dalam mana-mana siri kempen pilihan raya, kita sebagai calon tidak tahu yang kita bersalam dengan imam PAS atau imam sesiapa pun,” kata beliau.
Terdahulu media melaporkan, seorang wanita mendakwa gambar suaminya telah digunakan pada bahan kempen PN bersempena PRK Ayer Kuning tanpa memohon sebarang keizinan.
Wanita itu mendakwa suaminya tidak dimaklumkan mengenai penggunaan gambarnya bersama calon PN pada poster tersebut selain tampil membuat laporan polis. – MG Perak
Artikel Berkaitan: