Abd Muhaimin berazam tadbir DUN Ayer Kuning dengan jujur, adil

TAPAH – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.48 Ayer Kuning berazam untuk mentadbir kawasan tersebut dengan penuh jujur dan adil.

Abd Muhaimin Malek, 44, turut nekad untuk mengurus kawasan tersebut dengan ikhlas dan tulus berpaksikan prinsip Islam dan nilai-nilai murni dalam agama.

Anak kelahiran Kampung Baru, Ayer Kuning ini turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh kepimpinan PN yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk menjadi calon pada PRK DUN Ayer Kuning, 26 April ini.

Pengerusi PN Parlimen Tapah itu turut menyifatkan tanggungjawab yang digalas sebagai calon mewakili parti berkenaan adalah satu bebanan yang besar.

“Saya menerima amanah yang besar ini mewakili PN sebagai calon PRK DUN Ayer Kuning.

“Sesungguhnya ini adalah amanah yang terlalu besar walaupun belum tahu keputusan menang atau kalah,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap selepas diumumkan sebagai calon PN pada Majlis Pengisytiharan Calon PN di Padang Awam Tapah Road, di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Abd Muhaimin berharap supaya pengundi memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat di kawasan tersebut.

“Saya mohon restu dan doa dari rakan-rakan serta para pengundi supaya memohon kepada ALLAH SWT supaya diberikan kekuatan luar biasa untuk berkhidmat, menabur bakti dan jasa di DUN Ayer Kuning ini,” ujarnya yang turut memegang jawatan Yang DiPertua PAS Kawasan Tapah.

Abd Muhaimin yang dilahirkan pada 31 Oktober 1981 pernah menuntut di Institut Al-Fatah Al-Islamy Damascus, Syria pada tahun 2000 hingga 2006 dan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Kedah dari tahun 2011 hingga 2015.

Beliau kini berkhidmat sebagai Pengetua di Maahad Tahfiz Quran (MTQ) Addin, Ayer Kuning serta bertugas sebagai guru tauliah dan guru takmir di negeri ini.

Selain itu, Abd Muhaimin aktif menjadi motivator dan pensyarah jemputan serta terlibat dalam pembangunan masyarakat sebagai Pengerusi Persatuan Kebajikan dan Pembangunan Insan Bidor dan Ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Air Kuning.- MG Perak

Artikel Berkaitan:

PN ‘pertaruh’ Abd Muhaimin pada PRK Ayer Kuning

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI