Abd Muhaimin dinasihatkan supaya berhenti mengajar di masjid, surau

TAPAH – Calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek yang akan bertanding pada Perak Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dinasihatkan supaya memberhentikan aktiviti mengajar di masjid dan surau di seluruh Perak.

Pengurus Kempen Calon PN, PRK N48 Ayer Kuning, Mohd Misbahul Munir Masduki berkata, nasihat itu disampaikan Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) kepada Yang Dipertua Pas Tapah itu.

“Jabatan Mufti bagi nasihat untuk calon tidak mengajar lagi di masjid di surau sebab dia (Abd Muhaimin) jadi calon.

“Saya juga dimaklumkan Jabatan Mufti akan buat satu kenyataan untuk tidak membenarkan calon dari mengajar di masjid, di surau kerana telah menjadi calon pilihan raya,” katanya pada Sidang Media Harian PN di Pusat Media PN N48 Ayer Kuning, hari ini.

Mohd Misbahul yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar menjelaskan bahawa beliau yang sebelum ini pernah menjadi pemegang tauliah telah berhenti mengajar ketika menjadi calon pada pilihan raya.

“Saya sendiri pegang jawatan (pemegang tauliah). Cuma saya menghormati keputusan untuk tidak mengajar kerana saya ahli Parlimen.

“Saya tidak mengajar, saya jadi calon dan saya tak baca khutbah, jadi imam pun tak boleh, sepanjang kempen pilihan raya,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas, Nadzir Helmi memaklumkan PN akan mengikuti semua tatakelola yang dilaksanakan di peringkat penguatkuasa melibatkan mana-mana pihak.

“Itu cara kitalah. Sebab tanggungjawab sebar agama ni adalah tanggungjawab kita semua.

“Kita tiada kemampuan tapi orang agama ini ada kemampuan maka dia takkan duduk diam untuk membawa bersama agama tetapi telah menjadi calon dan diberi nasihat dan sebagainya kita ikutlah, InsyaAllah,“ katanya.

Sebelum ini, beberapa pihak tampil mendakwa Abdul Muhaimin memalsukan maklumat dalam permohonan untuk mendapatkan tauliah mengajar pengajian Islam di negeri itu.

Berdasarkan Peraturan-peraturan Pengawasan Pengajaran dan Syarahan Agama 2013, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) melarang individu berjawatan politik mengajar atau bersyarah di masjid dan surau di Perak, walaupun mempunyai tauliah.

Individu dilarang berbuat demikian melibatkan ahli yang memegang jawatan dalam parti politik; anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara; Ahli Dewan Undangan Negeri; bekas ahli politik yang aktif dalam kegiatan politik serta calon pernah bertanding dalam pilihan raya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Dakwaan tipu tauliah agama: Calon PN enggan ulas

Abd Muhaimin ada tauliah sejak 2014, henti main isu berkenaan – PAS

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI