TANJUNG MALIM – Ahli Persatuan Penulis Budiman Malaysia (BUDIMAN) sebulat suara mengekalkan Prof Dr Abdul Halim Ali sebagai Presiden serta mengekalkan barisan ahli jawatan kuasa sedia ada bagi sesi 2025/2026.
BUDIMAN dalam satu kenyataan berkata, Prof Dr Azhar Wahid kekal memegang jawatan timbalan presiden manakala Dr Amalina sebagai bendahari, diikuti Raja Ahmad Shalaby Raja Hassan sebagai setiausaha.
“Kita juga mengekalkan Prof Dr Ahmad Jazimin, Dr Mohd Azam Sulong, Dr Ghazali Din, Prof Madya Dr Ariff Mohamad, Dr Farra Humairah Mohd, serta Dr Abang Patdeli Abang Muhi sebagai ahli jawatan kuasa untuk sesi 2025/2026,” katanya.
Keputusan berkenaan dicapai pada Mesyuarat Agung yang diadakan pada 18 Mac lalu Dewan Sri Tanjung, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Sementara itu, Abdul Halim berkata, pada mesyuarat berkenaan, terdapat usul ahli yang membangkitkan agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi perhatian serius terhadap fenomena penutupan kelas-kelas subjek Kesusasteraan Melayu Komunikatif (KMK) yang berleluasa berlaku di sekolah.
Katanya, BUDIMAN menyeru pihak Menteri Pendidikan dan kepimpinan KPM mengambil inisiatif untuk menyelamatkan subjek KMK berikutan ia berupaya membantu membentuk akhlak dan keperibadian pelajar demi kemenjadian mereka dalam membina kecemerlangan akademik dan sahsiah. -MG Perak