KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim turut menyatakan sokongan terhadap Nurul Izzah Anwar bagi merebut jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu, sokongan tersebut bukan soal individu sebaliknya langkah strategik untuk memperkukuhkan barisan kepimpinan masa hadapan parti.
Jelas beliau, dalam suasana politik yang semakin kompleks, Nurul Izzah akan menjadi sosok yang bukan sahaja berwibawa dan berprinsip tetapi mampu meniupkan semangat reformasi ke generasi baharu, melintasi pelbagai latar yang ada.
Tambahnya, PKR sudah melahirkan pelbagai lapis generasi dan latar sejak awal penubuhannya dan kepelbagaian itu turut mencipta banyak jurang lantas menuntut parti itu untuk mengangkat pemimpin yang paling berkesan dalam merapatkan jurang generasi, mahupun jurang gender.
“Semua dari kita perlu menyatakan sikap. Maka selepas membuat sebaik-baik penilaian tanpa hilang rasa hormat kepada mana-mana pimpinan parti – saya dengan ini ikut menyokong pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden dalam Pemilihan 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Adam Adli, Nurul Izzah merupakan Naib Presiden PKR antara yang paling berpengalaman sejak usia awal parti mewakili suara rakyat sebagai ahli Parlimen selama tiga penggal dan mengabdikan diri sebagai aktivis hak asasi manusia di luar takwim politik.
Selain itu, katanya, Nurul Izzah juga konsisten mengangkat nilai keadilan, integriti dan pembaharuan institusi.
“Parti ini sedang dipersiapkan menuju zaman dan cabaran baharu dan Nurul Izzah di barisan hadapan adalah tanda komitmen kita terhadap kesinambungan idealisme reformasi – melangkaui individu mahupun nama keluarga.
“Nurul Izzah adalah sebahagian sejarah panjang KEADILAN, Nurul Izzah juga adalah masa hadapan untuk KEADILAN,” katanya.
Sejak semalam, sokongan terhadap Nurul Izzah bagi merebut jawatan nombor dua dalam PKR itu melonjak dengan pelbagai peringkat kepimpinan termasuk dari Selangor; Melaka; Perak dan Pahang turut menyatakan dukungan.
Sekiranya disambut, Nurul Izzah akan mencabar penyandang jawatan itu yang juga Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang sebelum ini sudah mengesahkan akan mempertahankan jawatannya.
Lebih menarik, selain Nurul Izzah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut dicadangkan menggalas jawatan itu namun Menteri Dalam Negeri berkenaan sehingga kini masih belum membuat keputusan meskipun tarikh akhir pencalonan hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi. – MalaysiaGazette