KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohd Hafez Sabri memohon maaf atas kekhilafan merujuk seorang wanita kaum Cina dalam insiden serangan terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Bagaimanapun, katanya, hantaran beliau berkenaan isu itu yang ditularkan pihak-pihak tidak bertanggungjwab adalah telah dimanipulasi.
Jelasnya, pada waktu kejadian tersebut, beliau telah mendapat makluman awal ia dilakukan oleh seorang perempuan kaum Cina.
“Sebagai rakyat yang sayangkan Tuanku Sultan Negerinya perasaan bimbang dan takut akan keselamatan Tuanku Sultan hadir dalam perasaan saya, jadi ketika itu saya telah membuat posting secepat mungkin kerana ia melibatkan satu “breach of security” kawalan keselamatan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Perak,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Mohd Hafez yang juga Ketua Pemuda Pas Perak, selepas beberapa minit hantarannya, beliau mendapati sumber awal yang diperoleh berkenaan kejadian itu tidak tepat dan telah membuat pembetulan pada posting asal secepat mungkin (tidak lebih beberapa minit dari posting awal).
Namun, katanya, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab telah membuat tangkap layar sepantas kilat hantaran awal Facebooknya itu dan terus menyebarkannya serta memainkan naratif seolah-olah beliau memainkan isu perkauman.
“Saya tidak menimbulkan isu bangsa atau etnik dalam mempersoalkan bagaimana insiden tersebut boleh berlaku, sebaliknya saya menekankan isu keselamatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Perak yang perlu diperketatkan,” katanya.
Menurutnya, beliau sedar tindakan melanggar kawalan keselamatan tidak boleh dipertahankan tanpa melihat kepada warna kulit individu yang melakukannya.
Namunm ujarnya, niat tidak baik pihak yang tidak bertanggungjawab itu jelas dan terserlah apabila memilih untuk menyebarkan hantaran awalnya sedangkan mereka boleh melihat dengan jelas pembetulan beberapa minit selepas itu di status Facebook beliau.
“Saya melihat dari semalam pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini cuba memainkan sentimen memecah-belahkan perpaduan kaum di Malaysia dengan cuba membina naratif dan sangkaan jahat terhadap saya.
“Lapang dada saya kerana dapat memberi pencerahan kepada seluruh rakyat tentang apa sebenarnya yang berlaku dan saya percaya warga masyarakat yang dikasihi boleh menilai dan melihat penjelasan saya dengan hati yang terbuka,” katanya.
Sementara itu, Mohd Hafez berkata, beliau juga sudah membuat laporan polis berhubung penyebaran tangkap layar hantaran Facebooknya yang dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab tersebut.
Terdahulu, beberapa pihak khususnya daripada sayap Pemuda DAP (DAPSY) seluruh negara hari ini membuat laporan polis terhadap Mohd Hafez susulan hantaran awal Facebooknya itu yang tular di media sosial.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi semalam, seorang wanita berusia 41 tahun bertindak menaiki pentas utama ketika acara sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak dan cuba mendekati Sultan Nazrin.
Wanita itu berjaya ditahan dan siasatan awal polis mendapati suspek memiliki rekod rawatan psikiatri selain turut memiliki rekod lampau berkaitan dadah. – MalaysiaGazette