ADUN perlu akur Perintah-Perintah Tetap, jangan langgar lampu merah – Saarani

IPOH – Mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dengan sengaja melanggar peraturan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dikenakan tindakan, termasuk digantung, selaras dengan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, justeru sebagai penggubal kepada Perintah-Perintah Tetap Dewan itu sendiri, mereka seharusnya akur dengan semua ketetapan yang digariskan.

Mengambil contoh lampu isyarat, Saarani berkata, seorang ADUN tidak seharusnya melampaui batas dengan melanggar peruntukan yang ditetapkan dalam perintah tetap berkenaan.

“Kita ada tiga warna lampu isyarat. Warna hijau boleh berjalan, warna merah berhenti. Tetapi ada juga orang yang warna merah pun dia langgar.

“Apabila langgar, kena tangkap, kena dakwa, kena denda. Adakah kita nak kata tak adil? Peraturan sudah ada (dinyatakan) di situ.

“Justeru dalam peraturan di dewan, kita boleh bercakap dan berhujah, tetapi ada batas. Jangan melampaui batas dan tak boleh menghasut atau menghina

“Apabila dihukum, macam mana kita nak kata tak adil, sedangkan buku itu (Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Perak) ada untuk mengawal kita, sama seperti lampu isyarat di jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Pelancaran Bantuan Sara Diri dan Kecemasan Mahasiswa Negeri Perak, Bantuan Baucar Buku Dan Jelajah AIM TVET With Cikgu Saarani di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Rabu.

Saarani sebelum itu diminta mengulas berkenaan Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria digantung enam bulan daripada menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa serta-merta.

Ketika dalam sidang media berasingan, Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol berkata, beliau akur dengan keputusan itu namun menyifatkan ia sebagai suatu kepincangan atau ketidakadilan.

Malah beliau berkata, perkara itu juga akan dijadikan sebagai sebahagian daripada modal kempen untuk membantu calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning.

Mengulas lanjut Saarani berkata, sekiranya Razman mahu membawa naratif itu pada kempen PRK berkenaan, beliau juga akan menjelaskan situasi sebenar kepada pengundi di situ.

Menteri Besar Perak juga menegaskan bahawa tindakan yang dikenakan terhadap Ketua Pembangkang itu bukan penganiayaan, sebaliknya ia dibuat mengikut peraturan di bawah Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri.

“Mana ada orang hendak mengaku bersalah, (apabila) dihukum (dikatakan) semua itu takdir. Itu normal pada saya.

“Tetapi saya beritahu, kalau perkara ini hendak dijadikan isu untuk PRK Ayer Kuning. Saya pun boleh juga.

“Saya akan ceritakan (kepada pengundi) bahawa apa yang dibuat oleh Ketua Pembangkang itu salah berdasarkan buku hijau (Perintah-perintah Tetap Dewan). Maka beliau dijatuhkan hukum,” katanya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

DUN Perak: Razman digantung enam bulan serta-merta

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI