Agong beri amaran tarik balik darjah penerima yang cemar nama negara

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini memberi amaran akan menarik balik Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan daripada penerima yang terlibat dengan jenayah, mencemarkan nama negara atau dihukum oleh mahkamah.

Seri Paduka Baginda bertitah, setiap penerima yang telah dipilih seharusnya bersifat jujur dan amanah kepada pemerintah, menjaga tingkah laku dan tidak terlibat dalam kegiatan rasuah dan sebarang kesalahan jenayah.

“Sekiranya ada penerima yang mencemarkan nama negara atau melakukan jenayah dan telah dihukum oleh mahkamah, maka segala Darjah dan Pingat Kebesaran akan ditarik balik. Good bye to it.

“Sehubungan itu saya telah arahkan kerajaan untuk menyemak senarai banduan di semua penjara dan mana-mana banduan yang ada Darjah Kebesaran, maka ia akan ditarik balik. Hal ini hanyalah untuk Darjah Persekutuan dan Wilayah Persekutuan, darjah negeri-negeri lain saya tidak masuk campur,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Turut berangkat pada istiadat yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara itu ialah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

— BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI