KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan nasihat tegas kepada Panglima Tentera Darat (PTD) baharu, Jeneral Datuk Azhan Md Othman, supaya memastikan seluruh warga Tentera Darat Malaysia (TDM) berpegang teguh kepada nilai integriti dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa rasuah merupakan musuh utama kepada kekuatan dan kredibiliti angkatan pertahanan negara, dan sebarang bentuk salah guna kuasa atau penyelewengan tidak boleh diterima sama sekali.
Seri Paduka Baginda, selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, turut mengingatkan bahawa kepemimpinan yang berintegriti bermula dari peringkat tertinggi, dan PTD hendaklah menjadi contoh teladan dalam membudayakan tadbir urus yang bersih, telus serta bertanggungjawab.
Menurut hantaran berkenaan, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar TDM terus dihormati dan diyakini rakyat sebagai angkatan yang profesional serta bebas amalan rasuah demi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.
“Sebelum ini, sudah beberapa kali saya menegaskan mengenai ‘orang tengah’ atau ejen di Kementerian Pertahanan…sepatutnya mereka semua ini tidak boleh dibenarkan masuk,” titah Sultan Ibrahim.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima menghadap PTD yang baharu di Istana Bukit Tunku di sini hari ini.
Pelantikan itu adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631 yang bersidang pada 19 Nov 2025 dan diperkenankan Sultan Ibrahim pada 1 Dis 2025.
Beberapa keping foto pertemuan Sultan Ibrahim dengan Azhan turut dimuat naik bersama hantaran berkenaan.
— BERNAMA


