TAIPING – Kejadian hujan lebat berterusan di sekitar daerah Larut Matang dan Selama (LMS) semalam turut menjejaskan keadaan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Toh Johan Kuala Trong.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, kejadian itu menyebabkan beberapa batu nisan tercabut dan keranda turut terkeluar akibat hakisan tanah di tanah perkuburan tersebut.
Menurutnya, situasi itu memerlukan tindakan segera bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.
“Batu nisan tercabut malahan keranda kayu pun dah keluar. Kalau tengok dalam gambar, keranda kayu dah keluar dan jenazah memang adalah di situ, masih hanyut lagi.
“Jadi, saya akan segera menyewa jengkaut untuk menolak balik tanah bagi menutup kawasan yang terjejas. Saya tidak kisah peruntukan, saya cari sendiri pun tak apa. Sebab itu adalah kecemasan. Kita tidak boleh kompromi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang, di sini pada Jumaat.
Mengulas mengenai langkah jangka panjang, beliau berkata, pembinaan benteng penahan akan dibincangkan bersama pihak berkaitan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Mengenai kubur saya tidak boleh jawab sendiri. Dia ada hukum dan sebagainya. Saya akan bincang dengan Jawatankuasa Masjid dan Jawatankuasa Kampung tersebut.
“Tapi untuk menutup kubur yang terjejas saya akan buat segera supaya tidak menakutkan orang yang melalui kawasan berkenaan,“ jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sistem perparitan tidak diselenggara dengan baik didakwa punca banjir


