Itu peringatan bekas pemipin UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengenai peranan Presiden UMNO dalam merungkai isu titah addendum untuk Datuk Seri Najib Razak.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Annuar mengimbas kronologi bagaimana berbangkitnya isu adendum yang bermula dengan soalan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kewujudan titah addendum di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun menurut beliau, perihal titah adendum itu hanya menjadi perhatian apabila Najib membawa kes tersebut ke mahkamah bersama affidavit Ahmad Zahid yang memperakukan melihat dokumen diraja itu.
Justeru, menurut bekas Ahli Parlimen Ketereh itu, peranan Ahmad Zahid tidak boleh diperkecilkan sama sekali kerana walaupun dalam keadaan tersepit beliau terus bekerjasama dengan pasukan peguam Najib.
Annuar turut menyorot peranan pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan dalam mendokong usaha Najib untuk membongkar apa sebenarnya yang berlaku di sebalik titah adendum sehingga membawa kepada keputusan Mahkamah Rayuan semalam.
Katanya, kesepakatan pembangkang seperti pemimpin Pas dan Bersatu bersama-sama NGO serta ahli UMNO sendiri akhirnya menghasilkan jawapan tuntas.
Justeru, katanya, Ahmad Zahid, UMNO dan semua pihak harus diakui mempunyai peranan yang besar apatah lagi apabila ia diletakkan di tempat yang wajar.
Semalam Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan Najib mencabar titah adendum bagi membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah.
Panel bersidang membenarkan rayuan bekas Perdana Menteri untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi dalam usaha mengesahkan kewujudan titah berkenaan. – MalaysiaGazette