BAGAN DATUK – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan harapan agar parti teras dalam gabungan berkenaan termasuk MIC terus diperkukuhkan.
Menurut beliau, BN mempunyai pendirian bahawa setiap parti gabungan khususnya parti teras menghormati antara satu sama lain dan sentiasa menghormati sebarang keputusan dibuat.
“MIC akan mengadakan mesyuarat tergempar dan apa pun keputusan yang akan dibuat MIC itu adalah hak dan pendirian parti berkenaan.
“Namun kita merasakan dengan adanya lima buah parti teras dalam BN dengan kemasukan semula PPP setelah mahkamah dan ROS membuat keputusan bahawa mereka harus kembali kepada Barisan Nasional, maka keputusan telah dibuat di dalam mesyuarat Dewan Tertinggi yang diadakan pada 21 haribulan di Kota Kinabalu.
“Dan tentunya dengan adanya lima buah parti ini, MIC adalah merupakan parti teras daripada sejak zaman Parti Perikatan dahulu bersama-sama dengan MCA dan UMNO. Dan kita harapkan agar parti teras di dalam Barisan Nasional ini dapat terus diperkukuhkan,” katanya.

Turut sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. Foto ABDULLAH YUSOF 25 JANUARI 2026.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Majlis Pecah Tanah Taman Industri QL Innofood Park, Hutan Melintang di sini, pada Ahad.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Ahmad Zahid berkata, BN tidak mahu campur tangan di dalam urusan dalaman parti komponen dan yakin mereka akan membuat keputusan yang tepat serta baik untuk parti dan juga komponen dalam BN.
Pada Sabtu, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, berkata MIC akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan penyertaan rasmi parti itu ke dalam Perikatan Nasional (PN).
Katanya, walaupun PN sudah memberi lampu hijau kepada MIC untuk menyertai gabungan pembangkang itu, penyertaan perlu dilaksanakan mengikut proses rasmi. -MG Perak


