TANJUNG MALIM – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bertanggungjawab untuk membangunkan dan melahirkan belia yang celik teknologi melibatkan kecerdasan buatan (AI).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, AI bukanlah satu terma baharu kerana seluruh dunia kini berbicara mengenai teknologi itu yang mampu mengubah gaya hidup, melaksanakan kerja seharian dan berinteraksi antara satu sama lain.
Menurutnya, menerusi program AI 4 Belia, memberi peluang kepada belia untuk membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) terutamanya penggunaan AI dalam kehidupan rakyat Malaysia.
“Melalui program yang diadakan dengan kerjasama Syarikat Pixlr ini, ia berupaya meningkatkan kesedaran belia berhubung kepentingan AI dengan menggalakkan penggunaannya dalam memperkasakan kemahiran belia menerusi teknologi itu.
“Selain itu, belia adalah pelapis dan perintis kepada pekerjaan masa hadapan dalam bidang seperti Kejuruteraan AI, Robotik, Anggota Keselamatan Maya (Cyber Security Agent), Teknologi Blockchain dan yang berkaitan.
“Terma-terma terkini seperti ChatGPT, Gemini, Jenni AI atau JasperChat adalah tidak asing lagi untuk membantu kita mencari maklumat awal mengenai sesuatu perkara yang ingin diketahui.
“Penggunaan AI juga dilihat dapat membantu belia yang berminat untuk meneruskan kerjaya sebagai usahawan inovasi atau tekno usahawan.
“Ini kerana AI mampu membantu belia yang terlibat dalam perniagaan untuk menganalisis data, merancang pemasaran produk dan mengoptimumkan operasi dengan sumber sedia ada,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program AI 4 Belia yang diadakan di Dewan Sri Tanjung, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), baru-baru ini.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berharap belia khususnya mahasiswa UPSI mengambil peluang menggunakan AI sebagai alat untuk memajukan dan meningkatkan potensi diri dalam pasaran kerja kelak.
“UPSI menerusi Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (META) dan Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) sedang giat melaksanakan program-program berkaitan AI untuk produktiviti dalam pekerjaan yang dilaksanakan di Ruang Daya Cipta (RDC) Tanjung Malim.
“Melalui inisiatif ini, pembelajaran AI boleh diperolehi daripada pelbagai medium iaitu secara fizikal atau secara dalam talian,“ jelasnya.
Ujar beliau, program sama akan dilaksanakan secara fizikal di Tanjung Malim dan akan diperluaskan lagi di lokasi lain pada masa hadapan.
“UPSI memandang tinggi dan sentiasa berhasrat tinggi untuk membantu pihak MOSTI dalam memperkasakan bidang STI pada masa akan datang,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
UPSI, MEITD jalin kerjasama tingkat profesionalisme guru Sarawak