AI, transformasi digital perkukuh pentadbiran kerajaan Perak

CABARAN utama dalam pentadbiran hari ini bukan berpunca daripada kelemahan dasar, tetapi lebih kepada kaedah pengurusan maklumat, proses kerja dan sistem yang digunakan.

Era digital pada masa kini menuntut perubahan menyeluruh terhadap cara kerajaan beroperasi dan membuat keputusan, memandangkan teknologi bukan lagi elemen sokongan semata-mata.

Oleh itu, wujudnya keperluan mendesak untuk Kerajaan Negeri Perak melakukan lonjakan sebenar dalam transformasi digital, pengurusan data dan penggunaan kecerdasan buatan atau AI.

Bagaimanapun, penggunaan AI, pengurusan data dan transformasi digital bukan bertujuan menggantikan peranan manusia, sebaliknya menjadi keperluan penting dalam usaha memodenkan pentadbiran agar lebih sistematik, cekap dan berasaskan fakta.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, hakikat yang perlu diakui adalah digital bukan lagi sokongan tambahan kepada kerja harian, data bukan lagi bahan penghias laporan dan AI bukan lagi wacana masa depan.

Menurutnya, ketiga-tiga perkara tersebut mesti menjadi teras operasi cara kita berfungsi dan membuat keputusan.

“Kerajaan Negeri Perak sebenarnya tidak bermula dari kosong dalam agenda pendigitalan, susulan pelaksanaan beberapa sistem sedia ada yang telah memudahkan urusan rakyat dan pentadbiran.

“Kita jangan rasa kekok atau janggal dalam soal ini kerana kita tidak bermula dari kosong. Kita telah melihat bagaimana e-Tanah, e-Belanjawan, e-Penghulu, Park@Perak dan iPremis telah mempercepatkan urusan rakyat, menyusun proses dalaman dan mengurangkan kebergantungan kepada kaedah manual,” katanya.

AI, transformasi digital jadi perkukuh pentadbiran kerajaan Perak
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan ucapan pada Majlis Wacana Eksekutif dan Perutusan Tahun Baharu 2026 Bersama Penjawat Awam Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, Ipoh, baru-baru ini. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Wacana Eksekutif dan Perutusan Tahun Baharu 2026 bersama Penjawat Awam negeri Perak di sini baru-baru ini.

Saarani menegaskan sistem sedia ada masih belum memadai memandangkan kepesatan perkembangan dunia digital yang menuntut penyesuaian berterusan serta kegagalan menyesuaikan diri dengan teknologi dan AI boleh menyebabkan pentadbiran dilihat lambat serta tidak relevan di mata rakyat.

“Jika sering dilihat lambat bertindak dan membuat keputusan, maka kita berisiko menjadi tidak relevan di mata rakyat,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengemukakan lima saranan utama, antaranya memodenkan proses teras kerajaan melalui platform digital yang stabil, mesra pengguna dan saling berhubung, khususnya melibatkan urusan tanah, kutipan hasil, permit perniagaan, aduan rakyat dan perkhidmatan kaunter.

“Rakyat selalu menilai kita berdasarkan dua perkara iaitu masa dan kepastian serta keperluan sistem yang telus serta boleh dijejak.

“Betul AI tidak menggantikan pertimbangan manusia. Tetapi AI memudahkan urusan kerja rutin kita. Ini Supaya tenaga dan kebijaksanaan kita dapat difokuskan kepada keputusan yang memerlukan nilai, integriti dan pertimbangan awam,” jelasnya.

Dalam masa sama, Saarani menegaskan keperluan mendesak perkongsian data merentasi jabatan dan agensi bagi mengelakkan pertindihan, percanggahan maklumat serta kelewatan keputusan.

“Tembok birokrasi data mesti diruntuhkan dengan meninggalkan mentaliti ‘menyimpan data’ kepada ‘berkongsi data’.

AI, transformasi digital jadi perkukuh pentadbiran kerajaan Perak
Gambar Fail: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melawat reruai pameran pada Majlis Perasmian Karnival Cakna Digital @ Lenggong 2025 di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Lenggong. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 DISEMBER 2025.

“Justeru, kerajaan negeri perlu bergerak tegas ke arah single source of truth bagi data kritikal negeri. Logiknya jelas, data  yang seragam mempercepatkan keputusan, menyelaraskan tindakan antara agensi, dan mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap maklumat yang kita sediakan.

“Bayangkan satu keluarga didaftarkan sebagai miskin tegar dalam satu sistem tetapi tercicir dalam sistem lain; atau seorang pelabur menerima tiga jawapan berbeza tentang tanah hanya kerana sistem tidak bercakap antara satu sama lain.

“Akhirnya, kita bukan lambat kerana tidak mahu bertindak, tetapi kerana sistem memaksa kita berasa ragu-ragu,“ katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa transformasi digital perlu disokong tadbir urus data yang jelas, berdisiplin serta menitikberatkan keselamatan dan kerahsiaan maklumat rakyat.

“Saya juga sedar kebimbangan terhadap keselamatan siber dan perlindungan data peribadi. Justeru, setiap langkah transformasi mesti disertai kawalan akses, pematuhan peraturan dan pembudayaan keselamatan maklumat di semua peringkat.

“Jadi, saya berharap, setiap jabatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenal pasti secara jelas proses utama yang boleh dipermudah melalui digital, data dan AI, dan menjadikannya sasaran prestasi yang boleh diukur.

“Tiada makna sistem canggih tanpa literasi digital dan data dalam kalangan pegawai,” katanya.

Katanya, walaupun teknologi menjadi pemangkin utama, nilai integriti, empati dan tanggungjawab kekal sebagai teras perkhidmatan awam.

“Teknologi adalah alat. Tetapi integriti, empati dan rasa tanggungjawab kekal sebagai jiwa perkhidmatan awam,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak teguh pelihara alam sekitar, biodiversiti melalui Perhilitan

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI