PARIT – Kebiasaannya anak yatim atau pelajar tahfiz menjadi antara golongan yang sering disantuni menjelang sambutan Aidilfitri.
Namun, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Belanja mengambil langkah untuk turut menyantuni 30 warga emas dengan menyumbang pakaian baharu bagi menyambut hari raya nanti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Khairudin Abu Hanipah berkata, kesemua mereka yang disantuni itu terdiri daripada golongan B40, kurang berkemampuan, serta yang tinggal sebatang kara.
Beliau yang juga Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak memberitahu, perkara itu dilaksanakan sebagai usaha menyuntik semangat serta kemeriahan sambutan Aidilfitri yang bakal tiba kepada diri mereka.
“Kesemua mereka diberikan kebebasan untuk memilih pakaian yang mahu dipakai pada 1 Syawal nanti dalam anggaran RM150 seorang di Pusat Pakaian Hari-Hari Seri Iskandar.
“Sudah pasti inisiatif yang kita gerakkan ini akan memberi kenangan yang indah kepada mereka dalam menyambut hari raya.
“Ada antara mereka yang mahu mendapatkan baju melayu, jubah, baju kemeja, tudung dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Santuni Kasih Aidilfitri Bersama Warga Emas DUN Belanja di Pusat Pakaian Hari-Hari Seri Iskandar, dekat sini, pada Isnin.
Tambah Khairudin, inisiatif yang julung kali diadakan itu secara tidak langsung dapat meringankan beban golongan warga emas itu dalam membuat persiapan menyambut lebaran.
Pada sama sama, beliau menjelaskan, golongan pelajar sekolah yang kurang berkemampuan telah disantuni dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah melalui sumbangan RM150 kepada setiap seorang 150 penerima sebelum ini.
“Bagi warga emas yang tiada kenderaan, Pusat Khidmat DUN Belanja ada menyediakan pengangkutan untuk pergerakan mereka ke sini.
“Justeru itu, kita berkemungkinan akan meneruskan usaha seumpama ini pada akan datang dengan menjadikannya sebagai acara tahunan,” ujarnya lagi. -MG Perak