KUALA KANGSAR – Umat Islam di negeri ini diingatkan untuk merayakan Aidilfitri dengan semangat mengembalikan ikatan persaudaraan di samping membuang segala perselisihan dan dendam antara satu sama lain.
Teks Khutbah Hari Raya Aidilfitri Perak menegaskan, Aidilfitri sepatutnya memupuk generasi Muslim berjiwa besar, berfikir strategik, berakhlak tinggi, serta bersatu dalam prinsip, seterusnya akan menjadi kuat dan tidak mudah dipermainkan.
Katanya, umat Islam harus sedar bahawa perpecahan dalam kalangan Ummah hanya memberi keuntungan besar kepada musuh agama.
“Jika umat Islam terus berpecah, terus berbalah, saling melemahkan antara satu sama lain, umat Islam akan terus menjadi mangsa percaturan musuh.
“Musuh Islam telah mengambil kesempatan, merancang menyemarakkan lagi pertelingkahan sesama Islam melalui pelbagai propaganda olahan mereka. Malangnya ramai umat Islam yang terpengaruh,” katanya.
Teks khutbah bertajuk ‘Aidilfitri: Hari Kemenangan dan Kesatuan Ummah’ yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) itu dibacakan di semua masjid dan surau di Perak, pada Sabtu bersamaan 1 Syawal.

Menurut teks itu lagi, kemenangan Aidilfitri melambangkan kepada kejayaan seorang hamba yang taat dan patuh pada perintah Allah lalu menerima ganjaran dengan kenikmatan dan kegembiraan.
Namun katanya, ia tidak bermakna tanpa sama-sama untuk turut merasai kesusahan dan ujian yang dihadapi saudara seagama di beberapa negara Asia Barat, Afrika, dan negara lain yang masih berdepan dengan tekanan serta peperangan yang tidak berkesudahan.
“Sebab utama kelemahan umat Islam bukan kerana bilangan yang sedikit, tetapi kerana perpecahan, cetek ilmu dan kurang daya penguasaan teknologi.
“Ketika dunia bergerak maju dengan kuasa teknologi, ekonomi, maklumat dan kesatuan, umat Islam masih bertelingkah perkara khilaf yang berlarutan lebih seribu tahun tanpa kesudahan,” ujarnya.
Dalam pada itu teks khutbah itu mengingatkan agar Umat Islam di negeri ini untuk memelihara perpaduan yang dinikmati selama ini dengan mentaati Raja-Raja Pemerintah dan pihak berkuasa agama yang bertanggungjawab menentukan urusan keagamaan.
Jelasnya, titah ketetapan Raja-Raja Pemerintah bersama pihak berkuasa agama, berupaya mengatasi sebarang khilaf yang mungkin berlaku, sekali gus menatijahkan kesatuan Ummah.
“Jangan sama sekali kita membuka ruang kepada perpecahan, kerana dipengaruhi oleh pandangan segelintir manusia atau kumpulan yang mencetuskan kekeliruan hingga boleh menyebabkan berlakunya perpecahan,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Persiapan awal, perbelanjaan berhemah jadi pendekatan sambut Aidilfitri


