Aidilfitri jatuh pada Jumaat, 20 Mac di UAE — SAASST

SHARJAH – Akademi Sains Astronomi, Angkasa Lepas dan Teknologi Sharjah (SAASST) melalui balai cerap astronominya mengeluarkan penentuan astronomi tepat mengenai anak bulan Syawal 1447 Hijrah, yang dijangka berlaku pada Jumaat, 20 Mac, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).

Menurut SAASST, 20 Mac akan menandakan hari pertama Aidilfitri di seluruh Emiriah Arab Bersatu, sekali gus mengesahkan yang Ramadan akan genap 30 hari.

Ia berkata pengiraan astronomi menunjukkan tiada anak bulan yang kelihatan pada Rabu, 18 Mac (29 Ramadan), iaitu malam cerapan anak bulan.

Pada malam itu, bulan terbenam sebelum matahari di ufuk barat, justeru Khamis, 19 Mac akan melengkapkan bulan Ramadan.

Balai cerap itu memaklumkan yang kesebarisan permukaan bulan di langit Sharjah akan berlaku pada 4:24 pagi waktu UAE pada Khamis.

Menjelang waktu matahari terbenam pada hari itu, usia anak bulan hanya kira-kira14 jam enam minit, dengan jarak sudut 6.5 darjah dari matahari dan berada kira-kira enam darjah di atas ufuk barat, serta hanya bertahan 29 minit selepas matahari terbenam.

Keadaan kritikal ini menjadikan pencerapan anak bulan hampir mustahil, walaupun menggunakan teleskop dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar di kawasan tempatan.

Menurut laporan itu, teknik pengimejan canggih mungkin dapat merakam imej samar anak bulan, namun kebarangkaliannya masih rendah.

Walau bagaimanapun, beberapa negara Arab dan Islam mungkin berjaya melihat anak bulan sama ada dengan mata kasar atau teleskop kerana faktor geografi yang lebih sesuai.

SAASST menegaskan ramalannya yang dengan izin Allah, Jumaat 20 Mac akan menandakan 1 Syawal dan sambutan Aidilfitri bagi UAE dan kebanyakan negara Islam.

Namun, negara yang bergantung sepenuhnya kepada cerapan mata kasar atau teleskop khususnya yang memulakan Ramadan pada Khamis, 19 Februari, bukannya Rabu seperti di UAE mungkin akan menyambut Aidilfitri pada Sabtu, 21 Mac.

— BERNAMA-WAM

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI