IPOH – “Setiap tahun arwah suami akan bersama-sama mencari baju anak-anak serta membuat persiapan raya namun kali ini Aidilftri disambut cukup sederhana,” kata Nursyakinah Abdul Ghani.
Nursyakinah, 34, kehilangan suami tercinta Razis Ismail, 41, yang meninggal dunia selepas dipercayai dibunuh di tapak perkhemahan dekat Gunung Lang di sini pada 3 Januari lalu.
Ibu kepada empat cahaya mata itu reda dengan pemergian tulang belakang keluarga berkenaan.
Menurutnya, empat orang anak mereka Mohamad Haziq Fitri Razis, 13; Muhammad Fitri Hakim, 10; Fatin Nur Aina, 8; dan Nur Khayla Damia, 10 bulan juga masih merindui insan yang dipanggil ayah.
“Kami sekeluarga memang sedih sangat kerana baru pertama kali sambut raya tanpa arwah di sisi.
“Persiapan raya pada kali saya lakukan hanya untuk mengembirakan anak-anak. Mereka juga sepakat memilih baju raya berwarna hitam kerana Aidilfitri tahun ini suram selepas ketiadaan ayah mereka,” katanya ketika ditemui di Taman Tambun Baru, di sini.
Dalam pada itu, dia berkata, anak kedua mereka, Muhammad Fitri Hakim pernah bermimpi bertemu arwah pada Ramadan baru-baru ini.
“Anak kedua kami memang rapat dengan arwah sehingga dia bermimpi ayahnya datang memeluknya pada bulan puasa,” ujarnya.
Nursyakinah yang kini berseorangan membesarkan empat anak mereka itu berkata, dia mungkin akan memulakan semula perniagaan menjual aiskrim Malaysia selepas Aidilfitri ini bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga.
“Sebelum ini, arwah sahaja yang bekerja dan saya membantu menampung perbelanjaan keluarga dengan menjual aiskrim Malaysia di rumah.
“Bagaimanapun, selepas pemergiannya saya hilang semangat namun saya akan cuba kuatkan semangat untuk teruskan perniagaan kecil-kecilan itu selepas hari raya,” jelasnya.
Sebelum ini media melaporkan, orang awam menemui pengawal keselamatan yang terbaring dan cedera di tepi pagar tapak perkhemahan di Gunung Lang sekitar jam 2.30 pagi pada 3 Januari lalu.
Hasil bedah siasat mangsa menunjukkan punca kematian mangsa adalah penyakit jantung dengan kecederaan-kecederaan akibat objek tumpul dan tajam.
Selain itu, balu kepada pengawal keselamatan itu turut layak menerima faedah pencen penakat sebanyak RM1,552.08 sebulan sepanjang hayat yang mula dibayar sejak awal Februari lalu sekali gus membantu meringankan beban keluarga berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bunuh pengawal keselamatan di Gunung Lang: Polis tahan lelaki, bantu siasatan
JKM lihat keperluan sesuai bantu keluarga pengawal keselamatan mati dibunuh – Exco