PERNAH bergelar asnaf bukan tiket untuk sentiasa meraih simpati daripada masyarakat, sebaliknya pemilik syarikat Akak Lejen Ventures, Siti Zahirah Ismail, 48, bangkit dan memulakan perniagaan berkonsepkan vendor bagi membebaskan dirinya terus berada dalam kepompong kemiskinan.
Ibu tunggal kepada tiga orang cahaya mata ini mula berniaga selepas menyertai program mentor mentee anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) pada tahun 2018.
Sejak dari saat itu, dia tidak lagi menoleh ke belakang dan kedai Akak Lejen yang disediakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak, menjadi lokasi produk-produk keluaran asnaf serta industri kecil dan sederhana (IKS) ditempatkan untuk jualan.
“Masa mula-mula meniaga saya memang kosong, tiada pengetahuan dalam perniagaan. Bantuan peralatan yang diberikan sewaktu kursus di MAIPk sebanyak RM5,000 itu digunakan untuk membuka kedai.
“Ketika dapat kedai buntu saya berfikir hendak jual apa, apa yang hendak dibuat dengan kedai, modal tiada, ada orang tak yang hendak letak barang dekat kedai, percaya ke orang?
“Bagaimanapun, saya ada berniat di dalam hati ketika menjalani kursus, saya hendak membantu asnaf yang sama taraf dengan membawa produk mereka dan pasarkan semula. Saya mahu orang luar tahu produk asnaf setanding dengan produk lain yang dijual di luar sana. Memang itu niat utama saya.
“Alhamdulillah, kawan-kawan bagi sokongan dan pada permulaan, kedai ini hanya menjual beberapa produk sahaja. Kemudian, kita masuk ekspo, sertai pameran anjuran agensi kerajaan dengan membuka reruai dan dari situ orang ramai mula percaya dengan produk yang kita pasarkan,” katanya ketika ditemui MG Perak baru-baru ini.
Mula berniaga miang kham
Siti Zahirah berkata, pada mulanya, dia berniaga makanan terkenal Thailand iaitu miang kham yang dihasilkan sendiri dengan menggunakan sos gabungan Malaysia dan Thailand supaya memenuhi citarasa orang tempatan.
“Daripada miang kham, kini kedai Akak Lejen ada lebih 100 sku (stock keeping unit) produk. Pisang sira adalah produk terlaris yang mendapat sambutan.
“Selain itu, kita turut menjual produk IKS hasil air tangan orang kampung dan keluaran asnaf antaranya sambal Toq Baq, rempeyek Ikin dan biskut kelapa Shalini Foods.
“Kesemua produk ini saya ambil daripada usahawan kecil di luar bandar serta golongan asnaf di sekitar negeri Perak. Paling jauh adalah di Gerik. Ada juga di Ipoh, Kuala Kangsar, Teluk Intan dan Bidor,” jelasnya.
Bantu asnaf lain tingkat ekonomi
Dalam pada itu, Siti Zahirah berkata, dia memang sentiasa mencari usahawan kecil, asnaf dan ibu tunggal yang ingin mengubah nasib keluarga dengan membantu mereka memasarkan produk di kedai Akak Lejen.
“Alhamdulillah, produk pisang sira yang paling laris dijual di sini kita ambil daripada seorang ibu tunggal yang berumur lebih 60 tahun. Sebelum itu, dia cuma berniaga secara kecil-kecilan di kampungnya.
“Selepas kita ambil produk tersebut, dia berjaya membuka bengkel, membeli kereta, ubah suai rumah dan dia rasa seronok kerana pisang sira buatannya telah membantu meningkatkan ekonomi kehidupannya,” ujarnya.
Dia berkata, ada juga usahawan kecil ini yang dahulunya menghasilkan produk kudap-kudapan secara suka-suka namun selepas mendapat bantuan daripadanya menjadikan produk tersebut sebagai sumber pendapatan utama.
“Segala ilmu yang diperoleh daripada MAIPk dan agensi berkaitan seperti Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) ilmu yang akan dikongsikan bersama mereka,” katanya.
Akak Lejen banyak ubah kehidupan
Penerima Anugerah Usahawan Asnaf Terbaik Perak 2022 itu juga memberitahu, perniagaan yang dijalankannya itu telah banyak mengubah kehidupan dia sekeluarga.
“Dulu hendak simpan duit tiada langsung, hendak beli apa-apa untuk anak-anak berfikir berpuluh-puluh kali, sekarang walaupun kehidupan tak semewah mana, tapi lebih selesa daripada dahulu.
“Alhamdulillah bersyukur sangat. Apa yang anak-anak minta dulu saya tidak boleh bagi sekarang sudah mampu, cuma cepat dengan lambat sahaja,” jelasnya.
Dia turut meluahkan hasrat untuk memperluaskan perniagaannya ke pasaran dalam dan luar negara namun perkara itu masih di peringkat perancangan awal.
“Memang ada perancangan untuk mengembangkan perniagaan dan saya ada bertanya dengan sahabat serta sifu lain cara untuk memasarkan produk keluaran asnaf ke pasaran luar seperti Singapura.
“Bagaimanapun, perkara itu masih dalam perancangan awal dan ia tidak terhad untuk jenama Akak Lejen sahaja tetapi turut melibatkan produk di bawah Koperasi Asnaf kepada Asnaf,” ujarnya.
Kalau kita rasa susah, ramai lagi yang lebih susah
Dia turut menasihatkan asnaf yang ingin mengubah cara hidup mereka yang ingin berjinak-jinak membuka perniagaan supaya melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan jangan sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja.
“Kepada asnaf-asnaf di luar sana, kalau kita rasa kita susah, ramai lagi orang di luar sana yang lebih susah. Apa yang kita perlu buat, semangat kena kuat, memang bila kita jadi asnaf akan ada segelintir orang yang benci dan hina kita.
“Apa yang saya buat selama ini adalah teruskan hidup. Kalau kita hendak makan, tiada orang yang akan bagi kita makan.
“Kita bukannya suka meminta-minta tetapi kita hanya tidak tahu untuk buat apa kerana tiada sumber pendapatan, tiada kemahiran. Jadi, kita perlukan bimbingan, perlu semangat, itu yang kita perlu tanam dalam diri, kalau orang lain boleh buat kita pun boleh buat.
“Walau apa pun dugaan yang mendatang, kita perlu lakukan adalah melaksanakan sesuatu perkara itu dengan gigih bagi membuktikan kita boleh berjaya,” katanya. – MG Perak
VIDEO:
MGPerak: ‘Akak Lejen’, Dari Asnaf Kini Usahawan Berjaya
MGPerak: Teaser: Akak Lejen, Dari Asnaf Kini Usahawan
Artikel Berkaitan: