Akauntan ditipu RM160,000 pakej bayar bil TNB

TAIPING – Seorang akauntan mengalami kerugian RM 164,903 selepas diperdaya tawaran pakej pembayaran bil Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan menjanjikan keuntungan yang tidak wujud, dekat sini, dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu melalui laporan daripada mangsa yang berusia 62 tahun pada jam 5.04 petang.

Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati, lelaki warga emas itu telah dihubungi oleh seorang lelaki untuk berurusan berkenaan dakwaan diskaun pembayaran bil TNB pada jam 3 petang, 8 Julai lalu.

“Suspek menjanjikan diskaun 35 peratus sekiranya mangsa dapat mencari pelanggan lain yang ingin membuat pembayaran bil elektrik melaluinya.

“Oleh kerana percaya dengan tawaran itu, mangsa kemudian telah menawarkan diskaun sebanyak 10 peratus kepada pelanggan yang ingin membuat pembayaran bil elektrik melaluinya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Mohamad Nasir, mangsa telah menghantar gambar salinan bil elektrik melalui telefon kepada suspek sebelum lelaki itu menghantar semula gambar resit pembayaran kepada mangsa, kononnya sebagai bukti bayaran telah dijelaskan.

Tambah beliau, akibat terpedaya, mangsa kemudian menyerahkan pula gambar salinan itu kepada pelanggan-pelanggan lain.

“Dari tempoh 8 Julai sehingga 27 Ogos seramai 120 pelanggan telah bersetuju untuk membuat pembayaran bil elektrik melalui mangsa.

“Jumlah bayaran yang telah diterima mangsa daripada pelanggan-pelanggannya adalah lebih kurang RM 207,000.

“Setelah ditolak dengan keuntungan 35 peratus, mangsa telah membuat 11 kali transaksi pindahan wang ke lima akaun bank berbeza melibatkan jumlah keseluruhan RM164,903,” ujarnya.

Jelas Mohamad Nasir, salah seorang daripada pelanggan mangsa kemudian telah memaklumkan kepada akauntan itu bahawa bayaran bil elektrik TNB atas namanya masih tertunggak.

Kata beliau, selepas mangsa membuat semakan, pihak TNB berkenaan mengesahkan perkara berkenaan.

“Mangsa telah cuba untuk menghubungi suspek tetapi gagal dan talian yang digunakan oleh suspek telah tidak aktif. Mangsa mengesyaki dirinya telah ditipu dan kemudian membuat laporan polis,” katanya lagi.

Mohamad Nasir memaklumkan, pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan selain menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pakej seumpama itu. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Angkara ‘phone scam’ penyelia asrama rugi RM34,350

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI