Akibat perselisihan faham, wanita maut ditikam pekerja

IPOH – Akibat perselisihan faham, seorang pengusaha kedai aksesori telefon bimbit maut ditikam pekerjanya dalam kejadian pergaduhan di hadapan sebuah kedai serbaneka di Taman Rasi Jaya, Menglembu, di sini, pada Khamis.

Mangsa yang maut dipercayai wanita warga tempatan dikenali sebagai Lee Siew Lean, 49, manakala teman lelaki dan suspek yang juga pekerja mangsa turut cedera dalam insiden itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian itu pada jam 10.55 pagi.

Menurutnya, siasatan awal lokasi mendapati mangsa adalah wanita berusia 49 tahun ditemui telah meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai ditikam oleh pekerjanya.

“Seorang lagi mangsa, yang juga teman lelaki mangsa berusia 42 tahun turut mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan.

Pasukan Polis dari Unit Forensik memeriksa sebilah pisau sekitar kawasan wanita warga tempatan yang ditemukan mati dipercayai ditikam pekerjanya sendiri di sebuah kedai di Taman Rasi Jaya, Mengelembu, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 4 JANUARI 2024.

“Seorang lelaki berumur 54 tahun iaitu pekerja yang juga suspek turut mengalami kecederaan telah ditahan pihak polis.

“Kejadian itu dipercayai berpunca akibat perselisihan faham mengenai masalah kewangan antara mangsa dan suspek,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu beliau berkata, kes ini diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mohd Yusri berkata, semakan awal mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh esok untuk permohonan tahanan reman.

“Kes ini berjaya diselesaikan dengan tertangkapnya suspek tersebut.

“Kita akan melengkapkan siasatan kes dan akan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan,” jelasnya.

Difahamkan, sebilah pisau turut ditemui di lokasi kejadian dipercayai senjata digunakan suspek. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Bunuh pengawal keselamatan di Gunung Lang: Polis tahan lelaki, bantu siasatan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI