KUALA LUMPUR – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mencatatkan jumlah rampasan sebanyak RM82.1 juta, sepanjang tahun ini.
Menurut agensi itu, ia merupakan hasil tindakan bersepadu dan penguatkuasaan berterusan operasi kawalan di pintu masuk negara.
Katanya, rampasan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mencatat nilai rampasan tertinggi iaitu RM59.9 juta.
Manakala, rampasan dadah pula tahun ini sebanyak RM20.2 juta.
“Rampasan MAQIS merangkumi barangan seperti ayam sejuk beku, buah-buahan dan sayur-sayuran.
“Dadah melibatkan rampasan ganja, methamphetamine, ekstasi dan ketamin,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Selain itu tambah AKPS, rampasan berkaitan kesihatan dan kosmetik bernilai RM1.47 juta yang melibatkan pelbagai barangan termasuk minyak, ikan, produk kosmetik, ubat-ubatan dan sabun.
Menurut agensi itu, pencapaian memberangsangkan itu mencerminkan komitmen AKPS dalam memastikan keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan rakyat, selaras dengan reformasi pintu masuk negara bawah aspirasi Malaysia Madani.–MalaysiaGazette


