KUALA LUMPUR – Akta Majlis Media Malaysia mula berkuat kuasa hari ini bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang mengumumkan perkara itu memberitahu, menerusi akta tersebut ia menjadi satu reformasi paling besar untuk membantu pengamal media di negara ini.
Ia dianggotai oleh 12 orang yang terdiri daripada empat wakil bagi setiap kategori iaitu kategori syarikat media, kategori persatuan media, pengamal media dan pengamal media bebas serta kategori ahli bukan media.
“Akta Majlis Media Malaysia mula berkuat kuasa 14 Jun 2025 bersempena dengan Hari Wartawan Nasional.
“Kita pilih secara simbolik untuk mewartakan dan menguatkuasakan Akta Majlis Media Malaysia sempena HAWANA 2025.
“Kita percaya ini adalah antara reformasi yang paling besar dan kita harap paling bermakna buat rakan media.
“Dengan adanya Majlis Media Malaysia banyak daripada perkara yang mungkin selama ini ingin disuarakan oleh rakan media dan mereka mempunyai satu wacana yang bermakna,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Kemuncak HAWANA 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.
Sementara itu ketika berucap pada majlis berkenaan Fahmi mengumumkan pemberian diskaun 50 peratus tambang penerbangan pergi balik AirAsia secara ‘one-off’ yang membabitkan 57 destinasi negara ASEAN, bagi menghargai sumbangan dan jasa pengamal media tempatan.
Menurutnya, inisiatif ini adalah hasil kerjasama strategik bersama Tan Sri Tony Fernandes, sebagai tanda penghargaan terhadap peranan besar wartawan dalam membentuk masyarakat yang bermaklumat dan berintegriti.
“Saya mengumumkan bahawa rakan-rakan wartawan akan menikmati diskaun 50 peratus secara one-off untuk penerbangan ke mana-mana 57 destinasi negara anggota ASEAN. Ini hasil rundingan dan kerjasama erat antara Kementerian Komunikasi dan AirAsia.
“Tempoh tempahan akan dibuka hingga 31 Disember 2025, manakala tempoh penerbangan mulai April hingga September 2026. Butiran dan mekanisme tempahan tiket akan diumumkan oleh JAPEN dalam masa terdekat,” ujarnya.
Tony turut bersetuju untuk mencadangkan agar salah satu pesawat AirAsia dihiasi dengan reka bentuk khas bertemakan dunia kewartawanan, termasuk berita yang pernah disiarkan, sebagai penghormatan terhadap media tempatan. – MalaysiaGazette