Aktiviti kuari dipastikan tidak ganggu ekosistem alam sekitar

IPOH – Kerajaan Negeri Perak serius dalam memastikan semua aktiviti kuari di negeri itu dijalankan tanpa mengganggu sebarang ekosistem alam sekitar, termasuk habitat hidupan liar.

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Teh Kok Lim berkata, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Penasihat Pengkuarian Negeri dan agensi berkaitan, sentiasa melakukan pemantauan ke atas aktiviti tersebut.

Katanya, antara langkah diambil adalah mengklasifikasikan batu kapur dan batu granit sebagai bahan mineral, melalui pengeluaran Pajakan Melombong atau Lesen Melombong Tuan Punya bagi tanah kuari.

“Langkah ini dibuat bagi memastikan pengawalan aktiviti pengkuarian di Perak ditadbir dan dikawal selia di bawah Enakmen Mineral (Perak) 2003 dan Akta Pembangunan Mineral 1994.

“Dengan pelaksanaan ini, setiap lot tanah kuari yang diluluskan untuk tujuan pengeluaran atau aktiviti pengorekan batu dikenakan bayaran bagi Kumpulan Wang Pemulihan Bersama (KWPB) setiap tahun sehingga tempoh Pajakan Melombong atau Lesen Melombong Tuan Punya tamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Aziz Mohamed Ridzuan (PN-Lubok Merbau) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Isnin.

Jelas Kok Lim (PH-Aulong), KWPB yang ditadbir oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Perak (PTG) diwujudkan bertujuan untuk pemulihan tanah kuari.

Jelas beliau lagi, ia termasuk usaha pemulihan kawasan infrastruktur yang terlibat serta kawasan sekeliling yang terjejas daripada aktiviti perlombongan dan pengkuarian.

“Selain daripada itu, kawalan ke atas aktiviti peletupan di kuari yang selalu dikaitkan dengan impak negatif kepada alam sekitar, orang awam dan harta benda turut dibuat.

“Syarat-syarat yang ketat dikenakan ke atas aktiviti peletupan merangkumi reka bentuk letupan, pembedil yang bertauliah, waktu letupan, had parameter gegaran bumi dan ledakan udara,” ujar Kok Lim.

Di samping itu, beliau memberitahu, setiap kerja peletupan perlu dilaksanakan oleh pembedil bertauliah dan diawasi jurutera perunding bagi memastikan aktiviti yang dijalankan itu tidak memberikan impak negatif kepada bangunan mahupun orang awam sekitarnya.

Tambah beliau, pemantauan gegaran bumi dan ledakan udara menggunakan seismometer juga dilakukan di lokasi kepentingan awam berhampiran atau mana-mana lokasi yang diarahkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

Menyentuh soal zon aktiviti kuari di Simpang Pulai, Kok Lim memaklumkan, Jawatankuasa Penghijauan dan Pemulihan yang memberi penumpuan kepada kawasan terbabit telah ditubuhkan pihak berkuasa negeri sejak tahun 2014.

“Melalui Jawatankuasa ini, projek pencucian jalan untuk mengawal habuk di sepanjang jalan raya Simpang Pulai – Cameron Highland yang melibatkan kawasan kuari telah dilaksanakan pada tahun 2016 dan masih diteruskan sehingga kini.

“Kos pencucian jalan ditanggung sepenuhnya oleh pengusaha-pengusaha kuari batu kapur di Simpang Pulai,” jelas beliau. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Sukar hentikan aktiviti kuari di hutan batu kapur kerana tempoh pajakan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI