IPOH – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan supaya semua kampus Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara menghentikan sementara sebarang aktiviti lasak dan air susulan kematian dua pelajar IPG Kampus Perlis akibat lemas semasa melakukan aktiviti berkayak di Pantai Merdeka, Kedah.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Wong berkata, arahan tersebut berkuat kuasa serta-merta sehingga satu pengumuman lanjut dibuat oleh pihak kementerian.
Menurutnya, langkah itu diambil sebagai tindakan segera bagi memastikan keselamatan pelajar sentiasa terjamin, di samping memberi ketenangan kepada ibu bapa.
“Ini adalah tindakan segera bagi memastikan bahawa ibu bapa kepada anak-anak kita di IPG dapat tenang dan juga mendapat respon segera daripada pihak KPM,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bas kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Permaisuri Bainun di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar dan Pengetua SMK Raja Permaisuri Bainun, Datin Khalilah Za’aba.
Dalam pada itu, Wong berkata, pihak KPM dan polis sedang menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut secara menyeluruh bagi memastikan semua aspek berkaitan diteliti.
“Siasatan polis sedang dilaksanakan dan siasatan dalaman (KPM) juga sedang dilaksanakan.
“Untuk polis, kita akan tinggalkan kepada polis untuk siasat, tetapi siasatan dalaman kita akan menyiasat dari kesemua sudut dan dari kesemua isu yang berbangkit.
“Sememangnya pada malam semalam, saya sendiri telah pun turun ke IPG (Kampus Perlis) di Kangar untuk bersama-sama dengan anak-anak yang terlibat dan mendengar daripada anak-anak tersebut, dan siasatan akan kita teruskan,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan dua pelajar IPG Kampus Perlis, Christopher Ling Jia Siang, 21, dan Joey Ling Lin Siang, 20, ditemukan lemas ketika menjalani aktiviti berkayak di Pantai Merdeka, Sungai Petani, Kedah.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan dilaporkan berkata, mayat kedua-dua mangsa ditemukan kira-kira jam 7.30 malam pada Sabtu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


