Aktiviti pembalakan tidak dibenarkan di hutan simpan kekal – Saarani

IPOH – Aktiviti pembalakan tidak dibenarkan sama sekali dijalankan dalam mana-mana kawasan hutan simpan kekal kata, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Namun menurut beliau, aktiviti berkenaan boleh dijalankan sekiranya status sesebuah kawasan hutan simpan itu dinyahwartakan, namun harus mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

“Walaupun aktiviti pembalakan boleh dijalankan, namun mereka masih tertakluk di bawah kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA).

“Dalam erti kata lain, aktiviti itu tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Program Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri, di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy serta Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan.

Saarani berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan aktiviti pembalakan yang didakwa berlaku di kompartmen 58 dan 59 Hutan Simpan Segari Melintang dekat Manjung.

Berdasarkan kepada laporan media, lesen pembakalan yang diluluskan di kawasan seluas 50 hektar itu didakwa mengundang kegusaran penduduk sekiranya berlaku tanah runtuh atau banjir besar kerana kawasan berkenaan diklasifikasikan sebagai hutan simpan.

Dalam pada itu, Saarani memberitahu, walaupun sesebuah kawasan hutan simpan itu telah dinyahwartakan, namun Jabatan Perhutanan Negeri akan menggantikannya dengan kawasan lain.

“Saya tidak dapat lagi maklumat lanjut berkenaan hal itu. Namun, saya yakin kawasan yang dimaksudkan adalah kawasan hutan simpan kekal yang mana statusnya telah dinyahwarta dan digantikan dengan kawasan lain,” ujar beliau. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak tambah penguat kuasa pantau pencerobohan hutan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI