APABILA jarum jam menghampiri ke waktu 12 tengah hari, Kedai Nasi Kandar Pekan Lama di Jalan Bijeh Timah, Ipoh mula sibuk dikunjungi pelanggan daripada pelbagai latar belakang, sama ada penjawat awam, pemandu teksi, mahupun pelancong.
Walau terpaksa beratur, mereka setia menunggu demi mendapatkan juadah tengah hari khususnya ayam rendang yang sudah menjadi hidangan ‘signature’ di kedai berkenaan.
Namun, dalam keriuhan itu, tumpuan pastinya akan tercuri tatkala pengusaha, Mohd Mathar Ahli Ahmad Jalaluddeen, 43, boleh berbahasa Kantonis dengan pelanggan-pelanggan berbangsa Cina.
Bapa kepada empat cahaya mata itu bukan sahaja boleh berbahasa Cina, malah turut menguasai Bahasa Melayu, Tamil dan Bahasa Inggeris dengan baik.
Dia yang mesra disapa ‘Ali’ itu berkata, kemampuannya untuk berbahasa dialek itu bermula ketika dia berada di alam persekolahan.
“Semasa zaman persekolahan saya banyak bergaul dengan kawan-kawan daripada bangsa Cina. Pada mulanya, saya hanya mencuba, tetapi lama-kelamaan saya boleh berbahasa Kantonis dengan baik.
“Tetapi saya tidaklah menguasai sepenuhnya dialek itu, cukup sekadar untuk bantu saya berbual dengan mereka yang berbangsa Cina,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di Kedai Nasi Kandar Pekan Lama, Ipoh.
Menurut Ali, bahasa merupakan instrumen penting bagi dia mengeratkan hubungan dengan pelbagai latar belakang masyarakat tanpa mengira garis batas bangsa.
Katanya, meskipun penguasaan bahasa ibunda dan Bahasa Kebangsaan tidak dilunturkan, namun usaha mempelajari ilmu pelbagai bahasa memudahkan urusan hariannya.
Tambah Ali lagi, kebolehan bertutur pelbagai bahasa juga memudahkannya berurusan dengan pembekal dan pelanggan warga emas yang kurang fasih berbahasa Melayu.
“Apabila menguasai pelbagai bahasa, ia mudah untuk saya berkomunikasi dengan pelbagai orang. Saya jumpa orang India, saya berbahasa Tamil, saya jumpa orang Melayu saya berbahasa Melayu, saya jumpa orang Cina, saya berbahasa Cina.
“Ada antara pelanggan yang mengetahui saya boleh berbahasa Kantonis, mereka terus jadi pelanggan tetap kedai nasi kandar saya ini, terutama warga emas.
“Bahasa adalah alat yang mengeratkan hubungan sesama anggota masyarakat. Akan tetapi jangan kita lupakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan kita,” ujarnya.
Waris generasi keempat perniagaan hampir 100 tahun
Menyingkap secara ringkas sejarah perniagaan Nasi Kandar Pekan Lama, Ali memberitahu, dia merupakan generasi keempat yang memegang amanah meneruskan legasi perniagaan keluarga.
Dia berkata, perniagaan itu mula diusahakan moyangnya, Mathar, ketika era pendudukan Jepun di Tanah Melayu, sebelum diteruskan datuknya, Abdullah.
Tambah Ali, kemudian, bapanya Ahmad Jalaluddeen bersama bapa saudara Sahul Hamid terus mengembangkan lagi nama Nasi Kandar Pekan Lama sehingga makin dikenali penduduk Ipoh sejak sekian lama.
Ali berkata, kedai yang menerima kunjungan pelanggan kira-kira 200 orang dalam sehari itu kini diuruskan bersama sepupu dengan dibantu lima tenaga kerja.
“Saya merupakan anak ketiga daripada enam beradik, dan disebabkan saya gemar memasak, perniagaan ini diwariskan kepada saya.
“Pada awalnya, saya belajar memasak dengan arwah bapa saudara. Mula dengan hanya tengok cara dia menyediakan satu-satu hidangan, saya kemudian mencubanya sendiri di dapur, dan Alhamdulillah, menjadi,” katanya.
Tambahnya, keramahan dan kemesraan dengan pelanggan menjadi resepi rahsia buatnya dalam memastikan perniagaan Nasi Kandar Pekan Lama yang hampir mencapai usia 100 tahun itu terus bertahan.
“Saya anggap semua pelanggan adalah kawan. Dan pada masa sama, saya pegang satu prinsip dalam berniaga, iaitu jangan sombong dan masak dengan ikhlas.
“Kalau kita sombong dan tidak ramah dengan pelanggan, nanti mereka akan ‘ghaib’ ke kedai lain. Kedai besar mana pun, kalau tak ada orang datang, tiada guna. Kita hidpu biar ramai kawan, jangan ramai musuh,” ujarnya lagi.
Ayam rendang pilihan utama
Mengulas tentang keistimewaan menu yang dihidangkan, Ali berkata, Nasi Kandar Pekan Lama terkenal dengan ayam rendang sebagai menu tarikan utama sejak sekian lama.
Di samping itu katanya, antara juadah lain yang turut menjadi tarikan pelanggan ke kedainya adalah daging kambing, otak lembu dan udang goreng.
Walaupun berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi, Ali berkata, mereka sedaya upaya mengekalkan harga yang berpatutan bagi memastikan semua lapisan pelanggan dapat menikmati hidangan nasi kandar yang disediakan.
“Kami masak dengan cara kami sendiri. Resipi memang saya pelajari dan kekalkan turun-temurun sejak zaman moyang saya, tanpa penggunaan penyedap rasa buuatan.
“Selain daripada ayam rendang, juadah ayam goreng dan ayam madu antara jenis masakan ayam yang sentiasa menjadi pilihan pelanggan di sini,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Nasi Kandar Kayu sudah berusia 50 tahun, terus memahat legasi