IPOH – Jenazah Allahyarham Mustaqqeem Mansoor, 34, yang hilang sewaktu menjalankan aktiviti mendaki dijumpai dalam posisi tidur mengiring seperti menahan kesejukan ketika anggota penyelamat menemuinya di puncak Gunung Liang di Tanjung Malim petang semalam.
Kisah itu dikongsi Pegawai Zon 4 Tapah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Marazman Mohamad, antara individu terawal yang menemui mangsa sewaktu menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan tersebut.
Menurutnya, mangsa ditemukan berpakaian lengkap bersama barangan peribadinya seperti telefon bimbit, dompet dan beg tidur yang terletak bersebelahan.
“Saya dan seorang anggota polis antara yang terawal tiba di punca serta menemui mangsa ketika melakukan operasi SAR di sekitar kawasan itu.
“Melihat pada keadaan jenazah, ia seperti kesejukan dan terdapat sedikit pendarahan pada hidungnya yang mungkin disebabkan udara sejuk atau hipotermia,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Marazman yang juga seorang Malim Gunung Perhutanan (MGP) berdaftar di bawah Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) berkata, beliau dimaklumkan pada mulanya mangsa yang mengadu sakit kaki ditemani seorang malim gunung yang membimbing kumpulan pendaki berkenaan.
Katanya, kumpulan pendaki yang lain telah dibawa turun lebih awal oleh seorang lagi malim gunung yang turut terlibat dalam pendakian tersebut.
“Saya dimaklumkan, malim gunung yang menemani mangsa kemudiannya mengambil keputusan untuk turun ke bawah bagi mendapatkan bantuan,” ujarnya.
Beliau berkata, operasi SAR yang dijalankan mengalami kesukaran kerana keadaan trek yang berbatu dan licin susulan hujan serta banyak gaung di kiri dan kanan.
“Misi SAR mangsa bermula dari Empangan Sungai Dara di Behrang, Muallim mengambil masa sekitar lapan jam melalui trek sejauh 12 kilometer dengan laluan yang sangat mencabar.
“Kalau ikutkan tahap kesukaran mendaki, ia tidak sesuai untuk pendaki biasa kerana ketinggian Gunung Liang adalah 1,933 meter dari aras laut,” jelasnya.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari dilaporkan berkata, dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) atas kesalahan memasuki hutan simpan tanpa kebenaran sah, semalam.
Menurutnya, bagaimanapun, kedua-dua mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Mustaqqeem dari Sungai Petani, Kedah dilaporkan hilang ketika mendaki bersama 10 rakan dari Bukit Fraser, Pahang pada 10 Oktober lalu dan dijadualkan turun di Gunung Liang, di Perak.
Bagaimanapun, mangsa ditemukan meninggal dunia di lokasi kejadian sekitar jam 3.30 petang semalam. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Jenazah Allahyarham Mustaqqeem selamat dibawa turun dari Gunung Liang