IPOH – Allahyarham Prebet Muhammad Irfan Haiqal Abdullah, 20 yang meninggal dunia akibat lemas ketika melaksanakan operasi di Pulau Mataking, Semporna, Sabah, Jumaat lalu sering menyatakan hasrat untuk mengubah nasib keluarga sejak menyertai pasukan beruniform itu.
Ibunya, Junaedah Said, 48, berkata, anaknya yang berminat untuk menyertai tentera sejak kecil itu turut menjadi tulang belakang keluarga tersebut.
Menurutnya, arwah turut menyatakan hasrat untuk membeli rumah baharu bagi keselesaan mereka sekeluarga.
“Arwah sering beritahu adik-adiknya bahawa dia sertai tentera untuk mengubah nasib keluarga dan berharap dapat membeli rumah pada satu hari,“ katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Pari Tengah, di sini pada Ahad.
Junaedah berkata, kali terakhir dia berhubung dengan anaknya itu adalah pada Selasa lalu sekitar jam 2 petang.
“Itu adalah kali terakhir saya bercakap dengan dia melalui panggilan video (video call). Saya kata dia lihat lebih kacak pada hari itu dan dia hanya ketawa.
“Dia turut berpesan supaya saya menjaga diri baik-baik,” ujarnya dalam nada sedih.
Katanya antara kenangan arwah yang tinggal adalah sebuah motosikal terpakai yang dibeli untuk saya serta dua telefon bimbit untuk adik dan ayahnya.
“Saya selalu cakap kepada orang saya bangga dengannya. Dia bukan anak yang paling pintar, tetapi dia berjaya. Dia sertai tentera pada 2023,” katanya yang menyapa Muhammad Irfan dengan panggilan mesra, ‘Abang‘.
Dalam pada itu, Junaedah berkata, anaknya itu pernah merancang untuk berpindah dari Johor ke Ipoh supaya lebih dekat dengan keluarga, namun kini yang dekat hanya pusara arwah yang terletak hanya satu kilometer dari rumah mereka.
Jenazah Muhammad Irfan tiba di rumahnya kira-kira jam 10.45 malam sebelum dibawa ke Masjid Idrisiah Kuala Pari untuk disolatkan.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Pari sekitar jam 1 pagi tadi.
Sebelum ini, media melaporkan, insiden itu melibatkan dua anggota daripada Kompeni 5, Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD) yang menjalankan Operasi PASIR Sektor Semporna Siri 3/2025.
Muhammad Irfan ditemui meninggal dunia, manakala seorang lagi anggota, Prebet Muhammad Zulkarnain Jaffar, 27, masih hilang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak buat semakan bajet naik taraf Lenggong selepas pengiktirafan UNESCO