IPOH – Jendela tahun 2024 di Perak diraikan dengan Program Bulatan Sultan Azlan Shah berselawat peringkat negeri, di Meru Raya, dekat sini, pada Selasa.
Hampir 2,000 orang hadir pada acara yang dianjurkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) bersempena dengan tahun baru itu.
Acara bermula selepas Solat Isyak dengan dibuka bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh johan Tilawah al-Quran Negeri Perak, Mohd Kamaruzaman Daud.
Ia kemudian diteruskan dengan ceramah bertajuk ‘Mindset tahun baru’ yang disampaikan penceramah bebas, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid.
Selain itu, program turut diserikan dengan acara Selawat dan Qasidah yang diketuai kumpulan Majelis Rasulullah Gerik sebelum diakhiri dengan selawat daripada JAIPk.
Hadir sama ke program, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; isteri, Datin Seri Aezer Zubin; dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Zaki Mahyudin.
Antara Exco Perak yang hadir adalah Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin; Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian Dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.
Turut hadir, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim.
Sambutan tahun baharu peringkat negeri telah diadakan bersekali dengan pelancaran Tahun Melawat Perak 2024 di Silverlakes Village Outlet (SVO) Batu Gajah dengan kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung pelbagai lapisan masyarakat. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Solidariti Palestin: 300 penduduk kampung berhimpun, berarak
[…] Alunan selawat 2000 peserta berkumandang di Bulatan Sultan Azlan Shah […]