KUALA KANGSAR – Pembayaran zakat tidak pernah mengurangkan rezeki, sebaliknya menjadi amalan yang membersihkan serta menambahkan harta, di samping dapat membantu golongan yang memerlukan.
Itu yang dipegang Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang tidak pernah culas menunaikan zakat perniagaan sejak 10 tahun lalu.
Menurutnya, konsep zakat dan sedekah adalahh asas penting dalam ekonomi Islam bagi memastikan kesejahteraan masyarakat khususnya golongan asnaf.
“Zakat adalah kewajipan yang tidak boleh dikompromi kerana hak golongan susah berada dalam harta orang kaya, manakala sedekah pula lahir daripada kerelaan individu untuk memberi.
”Kemudian sedekah itu ialah kerelaan kita untuk memberikan sedekah. Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW bagi tahu bahawa kita bagikan sedekah akan membersih dan menambahkan harta kita.
“Alhamdulillah, sepanjang mengamalkan pembayaran zakat, saya tidak pernah rasa berkurang dan saya menyeru umat Islam supaya menunaikan zakat dan bersedekah supaya dapat terus membantu mereka yang memerlukan,“ katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM2.3 juta sempena Majlis Penyerahan Zakat dan Berbuka Puasa yang disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini, semalam.
Dalam pada itu, Syed Abu Hussin Hafiz berkata, pengagihan semula dana zakat melalui kaedah wakalah membolehkan bantuan disalurkan secara terus kepada golongan asnaf di kawasannya.
“Kalau (zakat) RM2.3 juta 50 peratus daripadanya akan diberikan semula kepada saya untuk diagihkan kepada asnaf khususnya di kawasan saya, di Parlimen Bukit Gantang,“ jelasnya.
Artikel Berkaitan:


