TANJUNG MALIM – Keberkesanan amalan pengajaran adaptif dan reflektif menjadi faktor utama dalam melahirkan pendidik masa depan yang bersedia mengemudi cabaran Industri 5.0.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, landskap pendidikan masa kini menuntut guru bukan sahaja menguasai kandungan akademik tetapi juga berupaya menggabungkan teknologi pintar, pemikiran reka bentuk dan empati kemanusiaan dalam pendekatan bilik darjah.
“Kita tidak lagi bercakap tentang pengajaran konvensional semata-mata. Hari ini, kita bercakap tentang pengajaran yang diperkasa oleh kecerdasan buatan (AI), teknologi pintar, serta pendekatan yang memanusiakan pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan ‘First International Teaching Practice Symposium (ITPS) 2025’ di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dekat sini, pada Khamis.
Simposium bertemakan ‘Memperkasakan Pendidik Masa Depan dalam Era Industri 5.0’ itu menghimpunkan lebih 30 pembentangan kertas kerja daripada ahli akademik, penggubal dasar, pengamal pendidikan dan wakil industri dari pelbagai negara, khususnya rantau ASEAN.
Menurut Kah Woh, guru masa kini perlu mempunyai kebolehan menyesuaikan pendekatan pedagogi secara fleksibel, berkemahiran dalam teknologi digital, serta prihatin terhadap kesejahteraan pelajar selain mampu memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat.
“Amalan pengajaran yang berkesan perlu berasaskan bukti, dipacu data, dan sentiasa terbuka kepada penambahbaikan.
“Guru pelatih juga perlu dididik untuk menilai keberkesanan amalan mereka serta membina jaringan profesional yang kukuh.
“Saya percaya ITPS 2025 menjadi bukti bahawa universiti pendidikan tempatan mampu memimpin inovasi pendidikan bertaraf antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Latihan Mengajar dan Industri (PULAMI) UPSI, Prof Madya Dr Ashardi Abas, berkata, latihan mengajar kini bukan lagi sekadar keperluan kurikulum tetapi menjadi penentu utama kepada kesediaan guru berdepan dengan realiti pendidikan global.
Beliau berkata, dilema dalam menyeimbangkan antara penyeragaman dan keperluan pemperibadian turut menjadi cabaran semasa, bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh ASEAN dan peringkat global.
“Guru praperkhidmatan hari ini berdepan bilik darjah yang pelbagai budaya dan bahasa, gangguan teknologi seperti AI dan realiti maya, serta krisis kesihatan mental dalam kalangan pelajar yang memerlukan empati dan intervensi masa nyata,” katanya.
Selain itu, Ashardi turut menyarankan agar latihan guru pada masa depan dapat menumpukan kepada pengukuhan hubungan antara latihan universiti dan realiti sekolah dengan mengintegrasikan kemahiran digital, pedagogi kritikal, serta pendidikan inklusif.
“Di peringkat serantau, kita perlu membayangkan pertukaran praktikum rentas sempadan. Manakala pada skala global pula, guru perlu dilatih untuk memimpin bilik darjah yang mencerminkan kompleksiti dunia,” katanya lagi.
Artikel Berkaitan:
UPSI Wind Orchestra rangkul emas, markah tertinggi di miwFEST 2025