IPOH – Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak meminta agar pihak berkuasa agama Perak menyiasat dakwaan calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menipu mendapatkan permohonan tauliah mengajar agama Islam di negeri ini.
Pengerusi AMANAH Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, sekiranya dakwaan itu benar, maka tindakan Abd Muhaimin Malek itu disifatkan sebagai satu penghinaan kepada institusi agama dan derhaka kepada insitiusi diraja selaku Ketua Agama Islam negeri.
Katanya, tindakan calon PN itu yang enggan memberi penjelasan terhadap dakwaan itu juga disifatkan sebagai suatu mengecewakan meskipun ia melibatkan integriti dan kelayakan asas sebagai pemimpin yang ingin mewakili rakyat.
“Peraturan semasa juga dengan jelas menyatakan bahawa individu yang memegang jawatan dalam parti politik atau bertanding dalam pilihan raya tidak layak diberikan tauliah mengajar.
“Jika dakwaan ini benar, maka jelas calon tersebut telah memperoleh tauliah secara tidak sah dan menipu pihak berkuasa agama, selain melanggar garis panduan dan peraturan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Asmuni yang juga pernah memegang portfolio Exco Agama Islam berkata, sekiranya perbuatan menipu untuk mendapatkan tauliah mengajar itu benar maka ia bukan sahaja mencemarkan kesucian masjid dan surau, malah ia mencerminkan sikap tidak menghormati arahan tertinggi negeri.
“Perbuatan ini adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap kepercayaan awam, pelanggaran undang-undang syarie, serta mencemar kedaulatan Raja Berperlembagaan.
“Ia memperlihatkan sifat tidak jujur dan oportunis yang tidak layak untuk diangkat sebagai pemimpin rakyat.
“Kami menyeru agar pihak berkuasa agama menyiasat secara menyeluruh dakwaan ini dan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi,” tambah Asmuni.
Pada Sabtu Malaysia Gazette melaporkan, Abd Muhaimin enggan mengulas berkenaan dakwaan beliau menipu Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bagi memperoleh tauliah mengajar agama di negeri ini.
Yang Dipertua PAS Kawasan Tapah itu dilaporkan hanya menjawab dengan ringkas bahawa isu berkenaan sudah dijelaskan, meskipun tiada sebarang laporan dikeluarkan daripada mana-mana media.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan Dr Mohamad Yusri Bakir diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN), Abd Muhaimin sebagai calon PN, dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) mencalonkan Bawani KS. – MG Perak
Artikel Berkaitan: