IPOH – Parti Amanah Negara (Amanah) Perak termasuk beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa supaya siasatan dijalankan ke atas Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari susulan satu hantaran di Facebook yang didakwa berbentuk penghinaan dan provokatif.
Susulan itu, laporan dibuat oleh kepimpinan Pemuda Amanah Perak, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak, dan beberapa NGO termasuk Wadah Pencerdasan Umat (Wadah) Negeri Perak serta Persatuan Patriotik Rakyat Perak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak di sini, pada Selasa.
Pengarah Biro Undang-Undang (Kanun) Amanah Perak, Mohd Fitri Asmuni berkata, hantaran karikatur itu dilihat seolah-olah menyindir tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN dalam usaha mendamaikan konflik Thailand dan Kemboja.
“Tindakan yang ditunjukkan Ahli Parlimen tersebut dilihat tidak matang dan tidak professional. Apakah wajah agama yang ingin beliau tunjukkan kepada masyarakat, terutamanya umat Islam apabila ada dua pihak yang sedang bertelagah.
“Ini adalah satu pendekatan yang bercanggah oleh seorang Islam yang sepatutnya mengambil pendekatan damai terhadap kedua-dua pihak tersebut,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas selesai membuat laporan polis tersebut di sini, hari ini.

Beliau berkata, rakyat Malaysia seharusnya berdiri teguh di belakang Perdana Menteri bagi memastikan rantau ASEAN ini sentiasa berada dalam keadaan damai, aman, dan sentosa
“Kami membuat laporan polis pada hari ini kerana bimbang hantaran tersebut yang mengaitkan konflik di antara Thailand dan Kemboja tersebut boleh menimbulkan kemarahan serta kekacauan di rantau ini.
“Mungkin kita nampak benda ini kecil tetapi apabila kita membiarkan ataupun tidak mengambil apa-apa tindakan dibimbangi ia akan dinormalisasikan oleh orang lain,” jelasnya.
Terdahulu, Ahmad Fadhli dilaporkan telah bertindak memadam hantarannya di media sosial memaparkan karikatur tentang monyet, kambing dan biri-biri selepas Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta serta tanpa syarat petang semalam.
Hantaran dimuat naik Ketua Penerangan Pas Pusat itu memaparkan monyet bertindak sebagai hakim manakala kambing dan biri-biri sedang berebutkan pisang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Amanah Perak gesa rujuk Fadhli ke Jawatankuasa Hak, Kebebasan Parlimen


