TAPAH – Parti Amanah Negara (Amanah) Perak menyeru penyokong Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk mengundi calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir pada pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi berkata, mengundi calon BN yang mewakili Kerajaan Perpaduan itu bukan sahaja sekadar sokongan kepada parti, malah ia adalah undi kepada kestabilan pentadbiran.
Malah katanya, ia juga sebagai memberi undi kepada usaha meneruskan kesinambungan pembangunan serta memberi jaminan suara Ayer Kuning terus didengari dalam pentadbiran negeri.
“Kita telah mulakan langkah bersama dalam PRU15, dan PRK ini adalah peluang untuk kita pastikan momentum itu tidak terputus.
“Jangan biarkan suara rakyat terpisah daripada kerajaan yang memerintah, kerana itu akan menyukarkan banyak urusan yang sepatutnya sampai kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Menurut Asmuni, Amanah percaya bahawa kestabilan, kesinambungan dasar dan keupayaan menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat hanya dapat dicapai melalui calon yang bersama kerajaan yang mentadbir negeri dan negara.
“Amanah menyeru agar semangat muafakat dan perpaduan yang dibina ini diteruskan hingga ke peti undi.
“Bersama, kita pastikan Ayer Kuning terus berada dalam arus pembangunan dan perhatian kerajaan,” tambah beliau.
Pada PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri atau dikenali sebagai Ustaz Yusri yang mewakili BN dengan Abd Muhaimin Malek dari Perikatan Nasional (PN) dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia – PSM).
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, 59, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada Sabtu ini.
Untuk rekod, pada PRU15 lalu, BN memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 menewaskan empat calon lain masing-masing dari PH, PN, PSM dan Gerakan Tanah Air.
Ishsam dari UMNO memperoleh 9,088 undi diikuti Mohd Nazri Hashim dari Amanah yang mendapat 6,875 undi, Muhammad Noor Farid Zainal dari Pas (6,812 undi), Bawani dari PSM (586 undi) dan Maziah Salim dari Parti Pejuang Tanah Air (105 undi). – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pengundi Amanah dan komponen PH diyakini mudah pilih calon BN