Amanah sedia jadi menteri jika ada kekosongan – Sany

KUALA LUMPUR – Kepimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) bersedia untuk menggalas tanggungjawab di dalam Kabinet sekiranya diberi peluang oleh Perdana Menteri, jika benar-benar berlaku kekosongan jawatan menteri.

Pengarah Pilihanraya Amanah Nasional, Sany Hamzan berkata, pengisian jawatan sebagai menteri adalah hak prerogatif Perdana Menteri walaupun individu yang dilantik bukanlah seorang ahli Dewan Rakyat.

Katanya, Perdana Menteri boleh melantik sesiapa sahaja yang disukainya dan itu merupakan syarat utama.

“Ada orang tanya saya, apa syarat nak jadi menteri. Saya jawab syarat nak jadi menteri ni perdana menteri, suka. Walaupun ada PHD (Doktor Falsafah) sampai 10 ke, ada profesor ke, ada kiyai ke, ada ustaz ke, haji-haji ke, yang penting PM suka.

“Kalau Perdana Menteri suka, maka dia akan lantiklah…kalau kita bukan ahli Dewan Rakyat, dia boleh lantik angkat sumpah sebagai senator (sesiapa sahaja), kemudian angkat sumpah sebagai menteri untuk duduk di Kabinet, ini kuasa Perdana Menteri,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sany mengulas peletakkan jawatan dua anggota Kabinet iaitu Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad, kelmarin.

Rafizi dan Nik Nazmi yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan sebagai menteri dalam Kerajaan Perpaduan selepas kalah dalam a Pemilihan PKR Peringkat Pusat yang berlangsung Jumaat lalu.

Rafizi dan Nik Nazmi, mengumumkan peletakan jawatan masing-masing berkuat kuasa 17 Jun dan 4 Julai depan.

Menurut Sany lagi, pelantikan jawatan sebagai menteri merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh seseorang dan wajib dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

Ujarnya, individu yang dilantik ke jawatan berkenaan perlu memberikan komitmen sepenuhnya agar organisasi yang dipacu dapat digerakkan dengan cemerlang demi kesejahteraan rakyat.

Ditanya mengenai langkah peletakkan jawatan kedua-dua figura dalam Pakatan Haraoan itu, Sany berkata, beliau menyifatkan mereka sebagai individu yang berprinsip kerana mengotakan apa yang telahpun dikata.

Ujarnya, bukan mudah untuk melepaskan jawatan sebagai menteri kerana banyak kemudahan disediakan buat mereka.

“Tetapi dengan semanagat yang berjiwa besar, saya kira mereka berprinsip sebab mereka cakap mereka kotakan.

“Bila kita berkata-kata, bila kita tunaikan janji maksudnya kita kena kotakan apa yang kita kata, janji kepada masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI