Amang seksual kanak-kanak: OKU lembam mohon rujuk psikiatari

TELUK INTAN – Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) kategori lembam dihadapkan di Mahkamah Sesyen Teluk Intan, pada Jumaat, atas tuduhan melakukan gangguan seksual ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun.

Tertuduh, Mohd Ridzwan Mahmud@Mahamood, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas faham pertuduhan dikenakan ke atasnya yang dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Mengikut pertuduhan, bekas pengawal keselamatan itu didakwa menyentuh bagi maksud seksual bahagian kemaluan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun lima bulan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan amang seksual fizikal dengan cara meraba dan memegang bahagian kemaluan mangsa di hadapan kelas salah sebuah sekolah kebangsaan di Daerah Hilir Perak, kira-kira jam 6.45 pagi, pada 31 Januari lalu.

Justeru Mohd Ridzwan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, R. Rishan Kumar mencadangkan agar tertuduh ditawarkan jaminan RM20,000 bersama syarat tambahan tidak menganggu mangsa sehingga kes selesai.

Peguam bela tertuduh, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi bagaimanapun merayu mahkamah menawarkan jaminan rendah kepada anak guamnya yang didakwa merupakan OKU kategori lembam memandangkan tertuduh menjaga ibunya yang uzur berusia 78 tahun.

Amir Khusyairi juga turut meminta anak guamnya dirujuk kepada pakar psikiatari bagi menjalani pemeriksaan mental daripada pakar.

Nurul Farena kemudiannya memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Ipoh, bagi mendapatkan laporan dari pakar psikiatari dan menetapkan tarikh sebutan laporan berkenaan pada 8 Mac akan datang.

Mahkamah juga turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin bersama syarat tambahan melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran kediaman selain tidak menganggu mangsa.

MG Perak sebelum ini melaporkan seorang pengawal keselamatan ditahan polis selepas disyaki mencabul kanak-kanak perempuan tujuh tahun di hadapan kelas salah sebuah sekolah kebangsaan di Teluk Intan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, suspek direman selama enam hari bermula 1 Februari sehingga 6 Februari untuk siasatan lanjut.

Hasil siasatan awal polis, mangsa mendakwa suspek sudah beberapa kali mengulangi perbuatan terkutuk itu terhadapnya sebelum ini. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pengawal keselamatan ditahan cabul kanak-kanak perempuan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI