‘Amat buruk jika masjid jadi tempat sebarkan cerita karut, tanpa kesahihan’ – Khutbah Jumaat Perak

IPOH – Para agamawan diminta untuk memastikan setiap ilmu hendaklah disampaikan secara berhikmah iaitu melalui proses penelitian dengan mendahulukan sumber utama serta tidak mengundang fitnah.

Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menerusi khutbah Jumaat menitipkan pesanan bahawa sikap tidak bertanggungjawab menyebarkan ilmu luar daripada kepakaran boleh mencetuskan perbalahan dan mengakibatkan masyarakat menghadapi kecelaruan.

Katanya, sekiranya situasi itu berterusan, ia dikhuatiri akan menyebabkan mereka yang di peringkat awal mempelajari ilmu agama akan hilang minat kerana keliru dalam memilih antara yang benar dan salah.

“Amat buruk sekiranya masjid sebagai tempat yang wajib menyebarkan ilmu yang benar, dijadikan medan untuk menyampaikan cerita-cerita karut yang tidak dapat dibuktikan kesahihannya.

“Malah, disampaikan pula dalam bahasa yang kesat, atau ada yang mengolah bahan-bahan jenaka dengan niat mahu mengundang gelak ketawa pendengar.

“Bersifat amanahlah dengan ilmu. Jangan siarkan bahan yang disunting separuh jalan sehingga membawa maksud yang bersalahan daripada maksud sebenar,” katanya.

Teks khutbah Jumaat bertajuk ‘Memelihara kemuliaan manhaj ilmu’ itu disampaikan khatib di semua masjid dan surau diri Jumaat seluruh Perak.

Ujar teks itu lagi, JAIPk mengingatkan semua pihak untuk mencontohi manhaj atau kaedah Rasulullah SAW dalam menyampaikan dakwah dengan penuh hikmah.

Ujarnya, kegagalan dalam memelihara disiplin ilmu juga boleh menyebabkan suatu ilmu menjadi berserabut sehingga mengeluarkan pandangan yang bukan berasaskan pengetahuan mendalam.

“Jangan terlalu ghairah mahu menjadi orang pertama menyampaikan sesuatu ilmu yang dipetik daripada sumber kedua, tanpa memastikan kesahihannya, kerana dikhuatiri ilmu yang disampaikan itu merupakan maklumat palsu.

“Perlu difahami, tujuan menuntut ilmu adalah untuk mengetahui kebenaran supaya dapat memahami perintah dan larangan Allah.

“Dikhuatiri umat boleh tergelincir akidah jika ilmu disampaikan tanpa mengutamakan disiplin, disebabkan sikap berlumba-lumba ingin menjadi popular atau mendapat ramai peminat dengan cara menunjukkan kehandalan diri,” katanya.

Pada masa sama, khutbah Jumaat Perak juga menekankan untuk ilmu tidak dijadikan alat untuk kepentingan diri bagi mendapatkan kedudukan, harta, jawatan dan kemasyhuran.

Menurut teks sama, ketika ini ramai pihak yang dilihat mengulas sesuatu hal yang mereka sendiri tidak mempunyai kepakaran terhadap perkara yang disampaikan.

“Ada pula yang memuatkan kandungan-kandungan ilmiah dalam media sosial tanpa dikaji dan diteliti secara mendalam akan maklumat yang disampaikan.

“Lebih buruk, ada yang berhujah dan berdebat sehingga ke tahap melanggar batas-batas yang ditetapkan oleh agama,” tambahnya.

Justeru, jelas teks sama, dalam usaha mengawal daripada berlaku penyebaran pendapat menyeleweng, penting untuk pihak berkuasa agama memperkenalkan syarat ketat terhadap pihak yang ingin mengajar ilmu agama.

Tegasnya, ia termasuk menghendaki mereka untuk mengambil peperiksaan bagi menentukan kelayakan mereka sebelum dapat diberikan tauliah mengajar. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Khutbah Jumaat ingatkan belia pupuk sifat tolak rasuah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI