IPOH – Kemudahan ambulans disediakan di setiap bazar Ramadan tumpuan di sekitar Bandar Raya Ipoh sebagai langkah siap siaga berdepan sebarang insiden kesihatan pengunjung dan peniaga.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, kerjasama erat dengan Pejabat Kesihatan Daerah dijalinkan bagi langkah sama dapat diambil terhadap bazar Ramadan yang lain.
“Bermula tahun ini Majlis Bandar Raya Ipoh (MBI) menempatkan sebuah ambulans di bazar Ramadan tumpuan atau mempunyai jumlah peniaga serta pengunjung ramai.
“Usaha ini bagi memastikan kesejahteraan kepada orang ramai yang berada di bazar dapat terus dipelihara,” katanya.
Foto: Aniq Nabilafiq Anuar
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Bazar Ramadan Perkarangan Stadium Perak, dekat sini, pada Selasa.
Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin serta Pengerusi Persatuan Penjaja Dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Perak Cawangan Daerah Kinta, Zahari Abd Murad.
Sandrea terdahulu diminta mengulas berkenaan saranan Kementerian Kesihatan (KKM) yang menyarankan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyediakan nombor kecemasan di setiap bazar Ramadan.
Saranan itu Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad itu dibuat susulan kematian seorang lelaki warga emas di Bazar Ramadan Taman Seri Harapan dekat Baling, Kedah, pada Ahad.
Media melaporkan, Zainon Said, 75, dari Kampung Banggol Asam, Pulai, dilihat tiba-tiba rebah dan dipercayai meninggal dunia akibat penyakit kronik yang dihidapinya.
Mengulas lanjut Sandrea memberitahu, setiap penganjur di bazar Ramadan turut menyediakan nombor kecemasan dan petugas bagi memastikan tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku.
Foto: Aniq Nabilafiq Anuar
“Ada bazar Ramadan mendirikan khemas urus setia sebagai rujukan kepada pengunjung sekiranya berlaku sebarang insiden yang memerlukan bantuan.
“Malah di setiap bazar Ramadan ada ditempatkan pegawai penguat kuasa (daripada pelbagai agensi termasuk PBT) untuk pemantauan,” ujarnya.
Dalam perkembangan berasingan beliau berkata, sebanyak 368 premis gerai di seluruh bandar raya ini telah diperiksa setakat hari kedua Ramadan.
Jelas Sandrea, daripada jumlah itu, sebanyak 12 kompaun dengan nilai berjumlah RM3,750 telah dikeluarkan kepada peniaga atas pelbagai kesalahan, termasuk beroperasi tanpa lesen.
“Terdapat satu insiden melibatkan seorang peniaga yang menjual tapak kepada pihak ketiga.
“Siasatan bersama pihak penganjur mendapati aduan benar dan tindakan tegas diambil dengan menarik semula lesen gerai bazar Ramadan yang dikeluarkan ke atasnya sebelum ini,” kataya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bazar Ramadan: Peniaga, pengunjung ambil pendekatan sederhana