IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan keputusan menghantar wakil ke Misi Bantuan Kecemasan Malaysia ke Gaza serta Delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 dibuat susulan keperluan rundingan kompleks melibatkan kerajaan Mesir dan pihak tentera.
Menurutnya, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari diamanahkan sebagai wakil bagi memudahkan urusan perundingan serta melicinkan proses penghantaran bantuan.
“Ya, saya memang telah ambil keputusan tidak menghantar mana-mana….cuma oleh kerana ini melibatkan kontena yang besar dan melibatkan beberapa perundingan dengan kerajaan Mesir dan pihak tentera.
“Jadi saya kena minta seorang wakil yang memegang jawatan dalam kerajaan untuk membantu memudahkan.
“Sebab itu saya minta Datuk Seri Amirudin mewakili kita untuk berunding dan melicinkan proses itu kerana masalah dan kesukaran dihadapi oleh rakyat Gaza itu terlalu tinggi, terlalu sangat membeban,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Sebelum ini, media melaporkan Amirudin akan mengetuai Misi Bantuan Kecemasan Malaysia ke Gaza serta Delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 yang bermula hari ini.
Pejabat Menteri Besar Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan, Amirudin diamanahkan menyertai misi anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu sebagai wakil kepada Perdana Menteri.
Katanya, misi tersebut akan menyampaikan 30 kontena yang mengandungi 374 tan bantuan kemanusiaan bagi membela nasib warga Palestin yang sedang bertambah rumit di Gaza.
Amirudin akan berlepas pada 5 April untuk mengetuai Delegasi Kemanusiaan, memastikan pelepasan kontena di Kaherah berjalan selamat, mengetuai sidang khas di Pintu Sempadan Rafah untuk menyatakan tegas pendirian Malaysia terhadap isu kepungan Gaza, dan seterusnya memantau pelepasan Delegasi Sumud Nusantara di Pelabuhan Barcelona, Sepanyol. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


