AMK Perak nyata sokongan penuh pada Muhammad Kamil

IPOH – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak, berdiri teguh di belakang Timbalan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim, yang telah membuktikan komitmen dan kesungguhan beliau dalam membina kekuatan organisasi anak muda parti tersebut.

Dalam satu kenyataan bersama dikeluarkan sekumpulan pemimpin AMK Perak termasuk yang bersaing dalam pemilihan kali ini berkata, gerak kerja yang ditunjukkan Muhammad Kamil dilihat bukan bersifat bermusim atau retorik semata-mata.

Menurut kenyataan itu, ia telah diterjemahkan menerusi tindakan meliputi program kebajikan, pembangunan sahsiah anak muda, pengukuhan kerohanian, serta keterlibatan antarabangsa.

“AMK Perak mengambil maklum berkenaan ucapan yang disampaikan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli dalam salah satu majlis tertutup parti baru-baru ini yang turut menyentuh peranan serta prestasi AMK secara umum.

“Walaupun kami percaya bahawa teguran adalah sebahagian daripada budaya politik sihat dalam PKR, kami ingin menyatakan dengan penuh hormat bahawa terdapat keperluan untuk menyemak semula persepsi yang ditimbulkan, terutamanya apabila ia melibatkan kepimpinan sedia ada yang telah bekerja keras secara konsisten.

“Sebarang pandangan atau penilaian terhadap prestasi AMK haruslah bersifat menyeluruh dan adil, mengambil kira konteks cabaran semasa, beban organisasi, serta usaha yang telah dilaksanakan dengan sumber yang terhad.

“Kritikan yang tidak berpaksikan fakta hanya akan melemahkan semangat kerja kolektif yang telah dibina selama ini,” kata kenyataan itu pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, kenyataan itu berkata, Muhammad Kamil adalah seorang yang amat berdedikasi dalam tugasnya serta tidak pernah mengabaikan amanah yang diberikan parti.

“Beliau (Muhammad Kamil) turun padang ke seluruh negara, menyusun jentera negeri, mendengar pandangan akar umbi dan memastikan semangat perjuangan dalam kalangan anak muda terus menyala walaupun tidak semua usaha itu mendapat sorotan kamera atau liputan media.

“Justeru, AMK Perak tetap teguh bersama beliau serta terus aktif dalam memperkasakan anak muda dalam parti dan negara.

“Kami percaya bahawa jalan reformasi tidak boleh digerakkan oleh retorik semata-mata, tetapi memerlukan kerja asas yang kukuh, ikhlas dan berterusan, nilai yang telah dibuktikan oleh kepimpinan Muhammad Kamil,“ ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Rafizi persoal siapa bocorkan suratnya kepada Anwar, Fuziah

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI