IPOH – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyambut baik kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memutuskan parti itu kekal dalam Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) sehingga hujung penggal.
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, ia mencerminkan sifat Timbalan Perdana Menteri yang meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan politik dalam terus mengukuhkan kestabilan politik negara.
“Ia tidak sama seperti sebahagian kecil pimpinan-pimpinan lain yang bercakap dengan emosi dan tidak berfikir dengan waras panjang ke hadapan.
“(Mereka tidak) memikirkan (akan keperluan) meletakkan kepentingan negara itu di hadapan melebihi kepentingan diri dan juga parti sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Kembali Ke Sekolah di bawah inisiatif Sejahtera MADANI di Pasaraya Borong Sakan, Klebang, dekat sini, pada Rabu.
Program itu merupakan anjuran Pejabat Pembangunan Negeri Perak, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dengan kerjasama Pasaraya Borong Sakan Sdn. Bhd.
Mengulas lanjut, Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan berkata, pendirian Ahmad Zahid untuk UMNO-Barisan Nasional (BN) terus bersama dalam Kerajaan Perpaduan wajar dihargai, khususnya di sebalik tekanan agar parti itu meninggalkan kerajaan.
“Untuk jadi seorang negarawan atau pemimpin yang baik, kepentingan terhadap negara itu harus diletakkan sebagai keutamaan, berbanding perkara-perkara atau hal lain,” ujarnya.
Pada Selasa media Ahmad Zahid dilaporkan berkata, UMNO dan BN akan terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga tamat penggal.
Kata beliau, komponen parti itu tidak mahu terlibat dalam mana-mana gerakan ‘tebuk atap’ bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada di samping tidak mahu pisang berbuah dua kali dalam menjalin kerjasama dengan mana-mana parti pembangkang ketika ini.
Terdahulu pada Sabtu lalu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh dilaporkan menggesa parti itu menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan dan beralih ke blok pembangkang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu mendakwa ketika pentadbiran kini berlaku pelanggaran berulang ‘garis merah’ melibatkan isu 3R, iaitu kaum, agama dan raja. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tidak akan ‘tebuk atap’, BN kekal dalam Kerajaan Perpaduan hingga habis penggal


