GERIK – Anak gajah jantan yang maut di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli awal pagi tadi, dikatakan melintas jalan sebelum dilanggar sebuah lori membawa muatan ayam.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superitendan Zulkifli Mahmood berkata, hasil siasatan mendapati lori yang dipandu lelaki berusia 28 tahun itu dari arah Gerik menghala ke Jeli.
Beliau berkata, pemandu tersebut melihat seekor gajah dewasa sedang memakan rumput di sebelah kanan laluan dari arah Jeli ke Gerik
“Lelaki berkenaan kemudiannya meneruskan perjalanan apabila yakin keadaan selamat bagaimanapun secara tiba-tiba seekor anak gajah telah keluar dari hutan sebelah kiri dan melintas.
“Oleh kerana jarak yang sangat dekat pemandu tidak dapat memberhentikan lori lalu melanggar anak gajah sehingga mati di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Zulkifli berkata, ekoran kejadian itu seekor gajah dipercayai ibunya telah mengamuk dan merosakkan bahagian hadapan lori.
“Pihak polis telah mengubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan tindakan mengawal gajah telah dijalankan dengan menembak ubat pelali,” katanya.
Tambah beliau, pemandu lori tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati memandu dan melalui jalan berkenaan.
Terdahulu tular video memaparkan insiden kejadian di mana ibu gajah seolah-olah meratapi pemergian anaknya dengan berdiri di sebelah lori sambil cuba menolak kenderaan tersebut.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, anak gajah jantan dipercayai berusia lima tahun itu maut akibat dilanggar lori berkenaan. -MG Perak
Artikel Berkaitan: