TAPAH – Keluarga kepada Allahyarham Ishsam Shahruddin berasa kecewa apabila terdapat pihak yang menyalahguna nama kelab bola sepak yang ditubuh penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning itu pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.
Anak sulungnya, Muhammad Isnabil Ishsam berkata, beliau menyedari perkara itu menerusi hantaran di laman Facebook berhubung perlawanan bola sepak tiga penjuru melibatkan ahli politik pembangkang yang menggunakan nama kelab bola sepak Veteran AYBI (Akademi Yang berhormat Ishsam).
“Kami amat terkejut apabila mendapati nama kelab yang diasaskan oleh arwah ayah telah dimasukkan dalam poster awal promosi acara itu tanpa sebarang rundingan atau keizinan keluarga,” katanya ketika ditemui media di sini, pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan bahawa penggunaan nama kelab tersebut telah menimbulkan kekeliruan seperti penglibatan atau sokongan rasmi keluarganya terhadap kempen parti politik itu.
Menurutnya, apabila terdapat pihak yang mula mempersoalkan penggunaan nama kelab itu, hantaran tersebut telah diturunkan dan hantaran baru dimuat naik dengan poster yang diubah menggantikan nama kelab berbeza.
“Tindakan itu seolah-olah cuba menutup pelanggaran asal yang telah dilakukan namun usaha tidak mengubah hakikat bahawa nama asal kelab kami telah disalahguna,” jelasnya.
Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah bagi supaya siasatan lanjut dapat dijalankan terhadap perkara tersebut.
Beliau berharap supaya semua bahan promosi sama ada menggunakan nama Veteran AYBI atau nama baharu yang menggantikannya dihentikan serta-merta dan dipadamkan dari semua platform media.
“Kami juga berharap sebaiknya dibatalkan penganjuran tersebut oleh pihak berkuasa,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: