Anak muda termasuk Gen Z makin prihatin isu Gaza

KUALA KANGSAR – Gelombang kebangkitan membela nasib rakyat Palestin kini tidak lagi dibatasi usia apabila generasi muda termasuk Gen Z semakin lantang menyuarakan solidariti kemanusiaan terhadap Gaza.

Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Norazman Ishak berkata, fenomena iu boleh dilihat secara jelas bahawa golongan muda amat prihatin akan situasi yang berlaku di Palestin.

Beliau berkata, fenomena itu disifatkan sebagai gelombang baharu kebangkitan rakyat dengan tidak sekadar menjadi pemerhati di media sosial, tetapi memilih turun padang memperjuangkan kebebasan Palestin daripada cengkaman rejim Zionis.

“Kita lihat kebelakangan ini orang yang mengikuti perjuangan Palestin bukan sahaja generasi macam kita Gen X, Gen Y tetapi juga Gen Z.

“Anak-anak muda ini juga hendak tahu apa yang berlaku di Gaza di mana mereka mahu faham dan mahu turut serta dalam perjuangan membela rakyat Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam program Eksplorasi Rakit Flotila untuk Palestin di Jeti Kuala Kangsar di sini, pada Sabtu.

Wakil Malaysia ke misi Global Sumud Flotilla (GSF) itu berkata, kesedaran tinggi terhadap isu kemanusiaan global dalam dalangan generasi muda itu, menepis tanggapan sesetengah pihak yang memandang remeh misi GSF.

“Itulah kejayaan yang sebenarnya. Kita tidak boleh sangkal apa yang orang nak kata.

“Alhamdulillah, rakyat Malaysia sebenarnya bersama kita, malah sejak berada di atas kapal lagi, kita dapat lihat rakyat Malaysia bersatu berdoa. Itulah solidariti kita bersama,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berharap gelombang kebangkitan yang bermula di Malaysia dapat memberi tekanan moral kepada dunia supaya terus memperjuangkan hak rakyat Palestin.

Katanya, walaupun pelan damai sedia ada masih berat sebelah, ia sekurang-kurangnya membuka ruang untuk suara rakyat terus kedengaran.

“Kita menunggu bulan November ini apabila Presiden Colombia dijangka membawa usul pengiktirafan negara Palestin di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Norazman merupakan salah seorang daripada 100 peserta Eksplorasi Rakit Flotila yang menyelusuri Sungai Perak bermula dari Jeti Jambatan Victoria ke Jeti Kuala Kangsar sejauh kira-kira sembilan kilometer. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI