IPOH – Anak jati Lenggong, Khairul Idham Bahari, berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila dinobatkan sebagai johan dalam WorldSkills ASEAN Manila 2025 yang berlangsung di Filipina, baru-baru ini.
Pemuda dari Kampung Teluk Batu itu yang mewakili Institut Kemahiran MARA (IKM) Lumut telah muncul juara dalam kategori ‘Cabinet Making’ selepas menewaskan peserta-peserta terbaik rantau ASEAN.
Pertandingan berprestij tersebut menghimpunkan wakil-wakil negara serantau bagi menguji kepakaran teknikal dan kemahiran praktikal dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Ini termasuk teknologi kejuruteraan, reka bentuk, pembinaan, automasi serta kerja tangan halus.
Khairul Idham berjaya menamatkan semua tugasan dengan piawaian tinggi dalam tempoh masa ditetapkan, sekali gus membuktikan ketelitian, disiplin dan kemahiran anak muda Malaysia berada di peringkat dunia.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam perkongsian di Facebooknya menyifatkan pencapaian tersebut sebagai sumber inspirasi buat anak muda di negeri ini.
Saarani turut menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada Khairul Idham di atas kejayaan yang membanggakan negara.
“Kejayaan ini mampu jadi inspirasi kepada anak muda Perak yang lain untuk terus berani menceburi bidang TVET yang kini menjadi pemacu utama pembangunan negara.
“Semoga Perak akan terus melahirkan lebih ramai tenaga muda mahir seiring dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
BIM Challenge 2025 perkasa inovasi, kemahiran digital pelajar TVET