Anak yatim, asnaf gembira berbuka puasa di hotel, dapat duit raya

IPOH – Seramai 55 anak yatim dan asnaf daripada tiga pertubuhan termasuk sebuah sekolah diraikan dalam suasana penuh ceria apabila berpeluang berbuka puasa di Hotel Casuarina@Meru di sini pada Selasa.

Pengurus Besarnya, Sabrina Ahmad Tah berkata, hotel tersebut meneruskan tradisi penganjuran Majlis Tautan Kasih Ramadan 2026 sebagai simbol keprihatinan serta komitmen berterusan dalam menyemai nilai kasih sayang dan semangat kebersamaan.

Menurutnya, anak-anak yatim dan asnaf itu adalah daripada Pertubuhan Baitul Aini Anak-Anak Yatim dan Miskin Ipoh, Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-Anak Yatim Darussalam serta Sekolah Kebangsaan Muhammad Saman, Manjung.

“Pada program ini, anak-anak yatim dan asnaf berusia antara setahun hingga 16 tahun disantuni dalam suasana penuh bermakna menerusi majlis berbuka puasa serta penyampaian duit raya sebagai tanda ingatan yang mengeratkan ukhuwah dan mengundang keberkatan Ramadan.

“Dalam masa yang sama juga, kami menjemput klien-klien kami daripada jabatan kerajaan, korporat dan sosial untuk sama-sama menyantuni anak-anak terbabit pada hari ini (semalam).

Anak yatim, asnaf gembira berbuka puasa di hotel, dapat duit raya
Pengurus Besar Hotel Casuarina@Meru, Sabrina Ahmad Tah menyampaikan duit raya kepada anak yatim dan asnaf sempena Majlis Tautan Ramadan 2026 yang diadakan di hotel tersebut, semalam. Foto Rosdalilah Zahari

“Kami turut menjemput rakan-rakan media, pempengaruh (influencer) yang sentiasa membantu kami dalam mempromosikan hotel ini sejak beberapa tahun, jadi saya amat berterima kasih kepada semua yang terlibat,” katanya ketika ditemui di Hotel Casuarina@Meru di sini semalam.

Beliau berkata, selain itu, hotel tersebut turut mengedarkan bubur lambuk ke rumah anak yatim dan masjid berhampiran yang menjadi rutin setiap kali bulan Ramadan.

Sementara itu, Sabrina memaklumkan orang ramai yang meminati hidangan tradisional Melayu, cita rasa Nusantara serta sajian Timur Tengah boleh singgah ke hotel berkenaan bagi menikmati Bufet Santapan Ramadan bertemakan ‘Pusaka Rasa Warisan’.

Katanya, sebanyak 120 menu disediakan daripada pembuka selera hingga ke pencuci mulut, lengkap dengan aneka gerai warung yang mengangkat nostalgia rasa asli turun-temurun.

“Antara hidangan istimewa yang menjadi tarikan utama termasuk kambing panggang, nasi kukus sambal geprek, puyuh goreng berempah, gulai kawah kambing, ikan lampam goreng berlada, gulai tempoyak ikan patin dan bubur lambuk tulang kambing,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Ujian Ramadan, banjir lumpur musnahkan kelengkapan pusat jagaan anak yatim

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI